EKONOMI > BERITA

Keuntungan Bersih 99 Speed Mart Meningkat Kepada RM125.53 Juta Pada Suku Kedua

02/09/2024 08:03 PM

KUALA LUMPUR, 2 Sept (Bernama) -- Keuntungan bersih 99 Speed ​​Mart Retail Holdings Bhd melonjak kepada RM125.53 juta untuk suku kedua berakhir 30 Jun 2024 daripada RM75.48 juta dicatatkan pada suku kedua 2023.

Keuntungan bersih lebih tinggi itu didorong oleh sumbangan jualan yang bertambah dan pencapaian diskaun lebih baik serta kadar pendapatan operasi lain daripada pembekal, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Hasil juga bertambah baik sebanyak 8.2 peratus kepada RM2.41 bilion daripada RM2.23 bilion sebelumnya, kebanyakannya disebabkan oleh sumbangan positif daripada pengembangan cawangan.

“Kumpulan itu mempunyai penambahan sebanyak 59 cawangan, menjadikan jumlah cawangan sebanyak 2,646 pada 30 Jun 2024.

“Terdapat impak positif daripada platform e-dagang jualan pukal yang dilancarkan secara rasmi pada Disember 2023, ia telah menyumbang kepada pendapatan tambahan kira-kira RM2.6 juta kepada kumpulan pada suku kedua 2024,” kata 99 Speed ​​Mart.

Dalam pada itu, jumlah urus niaga jualan meningkat sebanyak 12.9 peratus kepada 113.8 juta urus niaga pada suku di bawah kajian berbanding suku kedua 2023.

Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif 99 Holdings, Lee Thiam Wah dalam satu kenyataan berasingan berkata keputusan yang kukuh tersebut telah mencerminkan daya tahan model perniagaannya. 

“Prestasi kewangan 99 Speed ​​Mart yang kukuh menunjukkan komitmen kami untuk menyediakan kemudahan dan nilai lebih besar kepada pelanggan kami.

“99 Speed Mart yang akan disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia menandakan peristiwa penting untuk syarikat kerana kami terus memacu pertumbuhan mampan dan memberikan nilai jangka panjang bagi pemegang kepentingan kami,” katanya.

Lee meluahkan keterujaan mengenai peluang baharu yang akan wujud menerusi penyenaraian berkenaan, membolehkan syarikat itu mempercepatkan trajektori pertumbuhan.

“Hasil daripada penyenaraian tersebut akan digunakan untuk mengembangkan kehadiran pasaran kami dan mengukuhkan kedudukan 99 Speed Mart sebagai peneraju pasaran dalam industri pasaran mini di Malaysia,” katanya.

99 Speed Mart dijadual disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysa pada 9 September 2024 dengan permodalan pasaran kira-kira RM13.9 bilion berdasarkan harga runcit akhir RM1.65 dan modal sahamnya yang diperbesarkan sebanyak 8.4 bilion saham selepas penyenaraian tersebut.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan