EKONOMI > BERITA

Unit Puncak Niaga Jual 100 Peratus Kepentingan Dalam Zuriat Watan Pada Harga RM83.62 Juta

02/09/2024 08:57 PM

KUALA LUMPUR, 2 Sept (Bernama) -- TRIplc Bhd, anak syarikat milik penuh Puncak Niaga Holdings Bhd memeterai dua perjanjian penjualan saham bagi cadangan pelupusan 100 peratus kepentingan ekuiti dalam Zuriat Watan Sdn Bhd (ZWSB) kepada empat pembeli pada harga RM83.62 juta.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Puncak Niaga berkata TRIplc memeterai perjanjian penjualan saham dengan Jinze Sdn Bhd untuk menjual 202,500 saham biasa, mewakili 4.5 peratus kepentingan ekuiti dalam ZWSB pada harga RM3.58 juta (cadangan pelupusan 1).

TRIplc juga memeterai perjanjian penjualan saham berasingan dengan tiga pembeli lain pada 27 Ogos, 2024 untuk menjual 4,297,500 saham biasa, mewakili 95.5 peratus kepentingan ekuiti dalam ZWSB, pada harga RM80.04 juta (cadangan pelupusan 2).

Di bawah cadangan pelupusan 2, pembeli saham itu ialah Leeway Holdings Sdn Bhd, DB Enneadrakon Group (M) Sdn Bhd dan Sheng Dar Holding Sdn Bhd.

Puncak Niaga berkata pelupusan yang dicadangkan itu adalah sebahagian daripada strateginya untuk mengewangkan aset bukan teras bagi memudahkan aliran tunai kumpulan.

"Pelupusan ini dijangka menghasilkan kerugian proforma kira-kira RM82.84 juta kepada kumpulan," katanya.

Cadangan bagi pelupusan 1 dijangka selesai pada suku ketiga 2024 dan cadangan pelupusan 2 pula pada suku keempat 2024.

TRIplc bercadang untuk mengisytiharkan harga pelupusan, selepas menolak semua yuran dan perbelanjaan yang berkaitan dengan cadangan pelupusan, sebagai dividen khas kepada Puncak Niaga yang akan menggunakan hasil tersebut untuk obligasi kewangannya berjumlah RM20 juta, modal kerja am (RM58.62 juta) dan untuk membiayai perbelanjaan yang berkaitan dengan pelupusan (RM5 juta).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan