EKONOMI > BERITA

New Zealand, Malaysia Dan Singapura Meterai MoU Untuk Tingkatkan Kerjasama Ekonomi

03/09/2024 12:18 PM

KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) -- Persatuan Perniagaan New Zealand Malaysia (NZMBA) dan Persatuan Perniagaan Singapura New Zealand telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Dewan Perniagaan Auckland untuk meningkatkan kerjasama ekonomi antara New Zealand, Malaysia dan Singapura.

MoU itu yang ditandatangani di Dewan Perniagaan Auckland baru-baru ini merupakan rangkaian perniagaan terbesar New Zealand, ia adalah kerjasama ekonomi antara tiga negara, memfokuskan kepada perdagangan, pelaburan dan rangkaian perniagaan.

Selain itu, MoU itu dijangka memanfaatkan kekuatan setiap negara untuk mewujudkan rangka kerja yang kukuh bagi pertumbuhan ekonomi mampan.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke New Zealand, Mazita Marzuki berkata MoU ini membuka ruang baharu untuk kerjasama khususnya dalam sektor pertanian yang mempunyai kepentingan bersama.

“Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN pada 2025, justeru itu kami komited untuk memupuk ekonomi yang cergas dan mengukuhkan kerjasama serantau,” katanya dalam satu kenyataan yang disediakan kepada Bernama.

Beliau juga menekankan kepentingan lawatan rasmi Perdana Menteri New Zealand Christopher Luxon ke Malaysia dari 1 hingga 3 September, memandangkan kedua-dua negara menikmati hubungan diplomatik yang erat selama 67 tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif Dewan Perniagaan Auckland dan bekas pemimpin National Party New Zealand, Simon Bridges berkata New Zealand sentiasa menghargai hubungannya dengan Malaysia dan Singapura.

“MoU ini adalah bukti komitmen kami untuk mengeratkan hubungan dan meneroka jalan baharu untuk kerjasama ekonomi,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian itu yang turut dihadiri Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke New Zealand, William Tan.

Sementara itu, Presiden NZMBA, Dave Ananth berkata MoU itu mengiktiraf hubungan sedia ada yang kukuh antara negara-negara berkenaan dan menyediakan platform untuk kerjasama ekonomi yang lebih besar.

“Saya berharap ia akan membawa kepada lebih banyak peluang perdagangan dan pelaburan antara New Zealand dan Malaysia,” katanya.

Dave berkata wujud potensi untuk meningkatkan pertukaran perniagaan dan perkongsian kepakaran dalam kalangan tiga negara tersebut.

Perjanjian itu dijangka memberi kesan ketara kepada ekonomi ketiga-tiga negara dengan meningkatkan akses pasaran, mengurangkan kekangan perdagangan dan menggalakkan pertukaran pengetahuan dan teknologi.

Perdagangan dua hala antara New Zealand dan Malaysia telah meningkat, volum perdagangan yang ketara dicatatkan pada 2023.

Malaysia kekal sebagai salah satu rakan dagangan utama New Zealand di Asia Tenggara dengan pelbagai pertukaran termasuk produk pertanian, barangan perkilangan dan perkhidmatan teknologi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan