EKONOMI > BERITA

Industri Sarung Tangan Getah Dijangka Sumbang Hasil Eksport Hingga RM12.4 Bilion Tahun Ini

03/09/2024 03:18 PM

KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) -- Industri sarung tangan getah dijangka menyumbang kepada hasil eksport negara sehingga RM12.4 bilion tahun ini, kata Kementerian Perladangan dan Komoditi.

Timbalan Menterinya Datuk Chan Foong Hin berkata Malaysia mengeksport sarung tangan getah bernilai lebih RM11.8 bilion pada 2023 dan menguasai 45 peratus bahagian pasaran global.

“Bagi separuh pertama 2024, perdagangan industri sarung tangan getah telah melonjak kepada RM6.8 bilion, meningkat daripada RM5.8 bilion dalam tempoh yang sama pada 2023.

“Jadi itulah sebabnya kita menjangkakan angka (nilai eksport sarung tangan getah) akan meningkat daripada RM11.8 bilion kepada RM12.4 bilion untuk tahun ini. Ia adalah satu trend yang menggalakkan untuk eksport getah Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Sarung Tangan Getah Antarabangsa ke-11 (IRGCE 2024) di sini hari ini.

Dianjurkan oleh Pertubuhan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia dan dihoskan bersama oleh Majlis Getah Malaysia, IRGCE 2024 yang bermula hari ini dan berlangsung selama tiga hari akan menjadi platform penting untuk memacu inovasi dan kemampanan dalam industri sarung tangan getah.

Terdahulu dalam ucapannya, Chan berkata kerajaan sentiasa menyokong pertumbuhan yang berterusan dalam industri itu.

“Kita mengiktiraf manfaat ekonomi yang luas yang dijana daripada industri ini, daripada penanaman sehinggalah kepada pembuatan, ia memberi kesan positif kepada keseluruhan ekosistem ekonomi.

“Namun begitu, kita juga mesti menangani cabaran sedia ada, seperti turun naik harga getah bersama-sama dengan isu-isu yang baru muncul seperti kawasan yang belum diterokai dan penyakit tanaman yang sangat menjejaskan pengeluaran dan hasil getah mentah,” katanya.

Chan berkata Kementerian Perladangan dan Komoditi komited untuk menangani isu-isu itu dengan memanfaatkan kemajuan teknologi dan penyelidikan bagi meningkatkan produktiviti, kualiti dan daya saing global.

“Kita yakin model baharu kita yang dipacu secara komersial akan meningkatkan hasil getah negara dengan ketara, mengoptimumkan pengurusan perladangan dan buruh, dan akhirnya meningkatkan pendapatan pekebun-pekebun kecil getah.

"Pada masa depan, adalah penting bagi industri sarung tangan getah Malaysia untuk menerima kemampanan kerana kita telah melihat banyak amalan mampan dalam industri, termasuk pembangunan sarung tangan yang mesra alam, inisiatif pemuliharaan air dan pelaburan dalam tenaga boleh baharu," tambah beliau.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan