EKONOMI > BERITA

Hab Agro Makanan Berpotensi Sumbang RM500 Juta Kepada KDNK Perak - NCIA

03/09/2024 07:28 PM

IPOH, 3 Sept (Bernama) -- Hab Agro Makanan, cabang baharu sektor sektor ekonomi Perak berpotensi menyumbang sebanyak RM500 juta kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri berkenaan.

Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) Mohamad Haris Kader Sultan berkata NCIA sedang menjalankan kajian kebolehlaksanaan Hab Agro Makanan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

“Projek ini akan dipacu oleh kerjasama pelaburan awam swasta...ia berpotensi menyumbang sebanyak RM500 juta kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Perak dan meningkatkan pendapatan petani tempatan sehingga 25 peratus hasil adaptasi teknologi pertanian moden.

“Perak bakal menjadi hab agro makanan yang kondusif, inovatif, berdaya maju serta mampan pada masa sama menyokong agenda keterjaminan makanan negara selain membantu mewujudkan peluang pekerjaan baharu seiring dengan Pelan Pembangunan Strategik NCER,” katanya dalam satu kenyataan.

NCIA memperuntukkan sejumlah RM61.2 juta bagi melaksanakan empat projek utama bertujuan memacu sektor pelancongan Perak.

Sementara itu, Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dalam kenyataan sama berkata dua daripada projek tersebut iaitu pembangunan semula pusat pelancongan Taman Eko-Rimba Lata Kinjang dan projek infrastruktur Pelancongan Warisan Ipoh telah berjaya disiapkan sepenuhnya sekali gus merancakkan industri pelancongan serta mewujudkan pelbagai peluang ekonomi baharu kepada masyarakat setempat

“Dua lagi projek pembangunan strategik dalam fasa pelaksanaan adalah Pembangunan Trail Pelancongan di Pengkalan Hulu dan Pembangunan Pelancongan Arkeologi Lembah Lenggong yang merupakan salah sebuah Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). 

“Kedua-dua projek baharu ini akan memangkin daya tarikan dan melengkapi pakej pelancongan di Perak di peta dunia bagi menarik pelancong tempatan dan luar negara seiring dengan salah satu program rintis perdana (flagship) iaitu Ekonomi Pengalaman di bawah Perak Sejahtera 2030,” katanya.

Terdahulu, Saarani menyempurnakan Majlis Apresiasi Pembangunan Ekosistem Pelancongan Negeri Perak anjuran NCIA bagi menghargai peserta Program Dana Usahawan NCER (DU@NCER) dan Tranformasi Usahawan Mampan NCER (NEST) yang turut dihadiri Mohamad Haris.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan