EKONOMI > BERITA

Sektor OGSE Disaran Untuk Tangkas, Berdaya Tahan Bagi Memacu Pembinaan Negara

04/09/2024 08:05 PM

KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) -- Pemain dalam industri perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE) mesti kekal tangkas dan berdaya tahan untuk berkembang maju dalam landskap industri yang sentiasa berubah dan menyumbang secara berkesan kepada pembinaan negara.

Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Malaysia Petronas Datuk Bacho Pilong berkata syarikat  minyak dan gas negara menekankan komitmennya yang mendalam untuk menyumbang kepada pembangunan negara dengan memupuk komuniti yang kuat dan berdaya tahan.

Beliau menekankan usaha Petronas untuk meningkatkan taraf hidup, menambah baik mata pencarian dan menyokong pertumbuhan yang saksama di seluruh Malaysia.

“Ini adalah ‘amanah’ kami untuk membangunkan sumber hidrokarbon negara dan menyalurkan tenaga secara mampan demi manfaat rakyat.

“Marilah kita semua menyatukan usaha dan menyelaraskan aspirasi kita untuk mencapai kecemerlangan tanpa mengira di mana kita beroperasi,” kata Bacho dalam ucaptamanya di Hari Rakan Kongsi OGSE Petronas, di sini hari ini.

Beliau berkata memandangkan permintaan tenaga dijangka memuncak menjelang 2030, pemain-pemain industri mesti kekal tangkas untuk memberi tumpuan kepada kecekapan, mengubah cabaran kepada peluang untuk kemampanan dan pertumbuhan bagi jangka panjang.

“Petronas akan terus menyokong industri untuk mengharungi cabaran dengan menghasilkan dan menyampaikan penyelesaian tenaga secara bertanggungjawab dan mampan,” kata Bacho.

Pada Hari Rakan Kongsi OGSE Petronas yang memasuki edisi kedua, ia menghimpunkan lebih 1,000 pemain industri dan pihak berkepentingan, termasuk persatuan-persatuan penting, jabatan dan agensi persekutuan dan negeri untuk bertukar-tukar pandangan tentang membina pemain industri yang teguh, berdaya tahan dan berdaya saing untuk ekosistem tenaga yang mampan.

Topik-topik utama yang dibincangkan termasuk peralihan tenaga, inovasi dan penggunaan teknologi, strategi pembiayaan, peluang-peluang pertumbuhan dan pembangunan modal insan serta kapasiti.

Pada majlis itu, Petronas turut merasmikan memorandum persefahaman (MoU) untuk memperbaharui Program Pembiayaan Vendor (VFP) dengan sembilan panel institusi kewangan.

Program itu yang diperkenalkan pada 2018, telah memudahkan akses kepada pembiayaan berjumlah RM1.9 bilion untuk lebih 300 pemohon bagi membantu vendor membina daya tahan kewangan mereka yang disebabkan perubahan landskap tenaga.

Petronas juga melancarkan Program Sokongan Pembekal (PSSP) bertujuan untuk menggalakkan vendor menerapkan prinsip-prinsip kemampanan dalam menyokong Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara.

Selama bertahun-tahun, Petronas kekal komited untuk memupuk ekosistem OGSE yang berdaya tahan melalui pelbagai program yang dipilih dan disusun.

Selain VFP, Petronas juga memudahkan Program Pembiayaan OGSE Khas untuk vendor bersaiz lebih kecil melalui kerjasama dengan Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF), yang mana sejumlah RM49 juta telah diluluskan untuk lebih 30 pemohon sejak 2022.

Di bawah program Petronas Road to Bursa (R2B), yang ditubuhkan pada 2020 dengan kerjasama Bursa Malaysia, syarikat itu telah melatih lebih daripada 30 syarikat tempatan, di mana tiga daripadanya telah disenaraikan di Bursa Malaysia.

Program Pembangunan Vendor Petronas juga telah memberi manfaat kepada 171 perniagaan tempatan sejak 1993.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan