EKONOMI > BERITA

BDDA Mahu Pelajari Ilmu Pertanian Thailand - Uggah

05/09/2024 01:27 AM

KUCHING, 4 Sept (Bernama) -- Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) berhasrat menjadikan Thailand sebagai contoh dan berharap untuk mempelajari kemajuan serta kepakaran dalam bidang pertanian dari negara berkenaan.

Pengerusi BDDA yang juga Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata satu lawatan telah diadakan bermula semalam, diketuai oleh beliau sendiri ke Wilayah Ratchaburi yang terkenal dengan spesies kelapa aromatik, mangga, jambu batu, nanas dan buah-buahan tropika lain.

Beliau berkata rombongan turut melawat Thai Coconut Public Company hari ini, yang menghasilkan produk berasaskan kelapa seperti santan dan air kelapa.

“Thailand terkenal dengan industri makanan yang sangat maju, bermula daripada penanaman hingga pengeluaran, pemprosesan, dan rangkaian pemasaran. Kami perhatikan bahawa Thailand jelas mempunyai rantai bekalan sangat canggih.

“Mereka sangat teratur, dan ini adalah sesuatu yang kami ingin tiru. Satu lagi kelebihan adalah Thailand mempunyai rangkaian pasaran di seluruh dunia yang membantu petani mereka menjual produk,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Uggah berkata bidang pemasaran adalah perkara penting bagi BDDA.

“Isu terbesar kami adalah sama ada semua yang kami hasilkan, sama ada sayur-sayuran, buah-buahan, makanan atau produk ternakan dapat sampai ke pasaran agar petani dapat meningkatkan pendapatan mereka,” katanya.

Uggah menegaskan bahawa matlamat utama BDDA adalah mencari kaedah untuk meningkatkan kehidupan rakyat dan pendapatan mereka.

“Tetapi kami perlu mempunyai perancangan, bimbingan, dan pengurusan yang betul bagi keseluruhan rantai bekalan supaya mereka bukan sahaja dapat menghasilkan kuantiti tetapi juga kualiti. Kami juga mempunyai tanah dan tenaga kerja yang sudah biasa bekerja keras,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan