EKONOMI > BERITA

Malaysia Antara Negara Diberi Keutamaan  sertai BRICS - PM Anwar 

05/09/2024 03:06 PM

Daripada Niam Seet Wei

VLADIVOSTOK (Russia), 5 Sept (Bernama) -- Malaysia merupakan antara salah satu negara yang diberi keutamaan untuk menyertai BRICS, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata sewaktu perbincangan dengan Presiden Rusia Vladimir Putin semalam, perkara yang diberi perhatian adalah sama ada Malaysia menjadi ahli BRICS dengan segera atau bermula sebagai rakan negara blok itu.

“Tapi yang pentingnya, kerana undangan bagi negara yang belum jadi anggota, kita antara satu (negara yang) diberi keutamaan,” katanya pada sidang media di hari terakhir lawatan kerja beliau ke Rusia, di sini, hari ini. 

Mengenai penyertaan Malaysia dalam BRICS, beliau berkata perbincangan dengan Perdana Menteri China dan India, Presiden Putin, serta Presiden Brazil sebelum ini semua adalah positif.

“Mengapa kita pilih BRICS, kita rasa Global South, kerjasama perserikatan (kesatuan) negara Selatan ini sangat menguntungkan,” katanya.

Sementara itu, Anwar berkata Putin telah mengundang beliau untuk hadir dalam sidang Kemuncak BRICS di Kazan, Rusia, pada 22 hingga 24 Okt depan.

“Kita sedang teliti, bulan depan itu terlalu banyak program luar, kemungkinan hadir atau (hantar) wakil,” kata beliau.

Mengenai kegusaran seandainya kerjasama BRICS akan memberi kesan negatif terutamanya kepada hubungan Malaysia dengan Amerika Syarikat dan Eropah, Anwar menyifatkannya sebagai retorik semata-mata. 

Beliau berkata Malaysia adalah sebuah negara bebas dan mengambil sikap terbuka dalam kerjasama antarabangsa.

“Sikap kita terbuka dan bebas dalam hubungan antarabangsa seperti kita lihat dengan Eropah dan Amerika dan China dan India, kini Rusia.

“(Disebabkan) BRICS membina kekuatan Global South, ia akan memberikan manfaat kepada kita dalam kerjasama ekonomi yang tidak ditekan mana-mana kuasa lain,” kata Perdana Menteri.

BRICS adalah blok kerjasama bagi ekonomi sedang pesat membangun yang ditubuhkan pada 2009 dan merangkumi Brazil, Rusia, India serta China dan disusuli penyertaan Afrika Selatan pada 2010.

Pada Januari 2024, negara-negara seperti Iran, Mesir, Ethiopia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) turut menyertainya sebagai anggota baharu.

Secara kumulatif, keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara anggota BRICS berjumlah US$26.6 trilion iaitu 26.2 peratus daripada KDNK dunia dan hampir menyamai kekuatan ekonomi negara kumpulan G7.

Negara anggota BRICS juga mempunyai bilangan populasi besar sebanyak 3.21 bilion yang dijangka terus meningkat menerusi penyertaan Mesir, Ethiopia, Iran dan UAE yang berpenduduk 333 juta orang, sekali gus membentuk pasaran mega merangkumi kira-kira 3.54 bilion orang atau hampir 45 peratus daripada penduduk dunia.

 -- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan