EKONOMI > BERITA

RMK-13 Akan Cerminkan RMK-1, Tumpuan Kepada Turutan Dasar - Rafizi

05/09/2024 03:36 PM

SEPANG, 5 Sept (Bernama) -- Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) akan hampir menyamai RMK-1, dokumen strategik yang dikenali dengan ciri yang ringkas dan padat serta menyeluruh, dengan setiap aspek adalah komited kepada hala tuju dasar tertentu, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Beliau berkata merangka rancangan lima tahun itu adalah tugas yang kompleks berikutan transformasi ekonomi negara yang ketara,  yang disifatkan beliau sebagai ‘tumpuan kepada kepelbagaian.’ 

“Fasa perancangan RMK-13 adalah sama dengan kanvas kosong iaitu belum diputuskan. Kami mahu mengumpul idea dan input kreatif daripada seramai mungkin untuk mewujudkan ruang yang bebas daripada status quo, dengan kebimbangan yang boleh disuarakan dan kerajaan mengerakkannya ke haluan yang tepat.

“Kemudian kami akan berusaha untuk merancang dengan teliti keutamaan yang ingin kami tetapkan untuk masa depan negara. Apa yang penting, mendapatkan turutan dasar yang betul adalah perlu,” katanya ketika berucap pada Persidangan Permulaan RMK-13 di sini hari ini.

Menurut Rafizi, berbanding rangka tindakan besar, kerajaan kini lebih suka melaksanakan pembaharuan dalam ‘saiz kecil,’ memberikan ruang untuk berbuat sesuatu dan penyesuaian berdasarkan maklum balas rakyat.

Mengulas selanjutnya beliau berkata tumpuan pertama yang dilaksanakan oleh pemimpin terdahulu adalah komoditi apabila mereka mengakui negara perlu mengurangkan pergantungan ekonomi kepada getah dan bijih timah.

Rafizi berkata, sebaliknya mereka beralih kepada minyak sawit dan petroleum, yang menjadi sumber pendapatan lumayan dan menjadikan jangkauan eksport Malaysia ke peringkat antarabangsa.

Menurutnya aliran masuk pelaburan yang berikutnya membolehkan tumpuan kedua negara kepada pembuatan.

“Daripada mengekstrak sumber semula jadi, kita membina sesuatu. Ini termasuk industri elektronik yang semakin meningkat, lebuh raya yang menghubungkan utara dan selatan, dan bangunan ikonik.

“Tumpuan ketiga, saya yakin, masih belum tiba. Menerusi RMK-13, kita tidak hanya melihat untuk lima tahun akan datang tetapi membayangkan bagaimana Malaysia pada 2040.

“Mengambil pendekatan menerusi perspektif yang tinggi ini mendorong kita untuk berfikir di luar dasar individu; untuk menentukan apakah yang akan memacu generasi akan datang ekonomi Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Rafizi yang memetik sebahagian data berkata, Asia Tenggara diunjurkan berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak empat peratus sehingga 2040, menjadi ekonomi keempat terbesar dunia, dan Malaysia berada di tengah-tengah pertumbuhan global.

“Ini bergantung kepada kita, sebuah negara yang mempunyai 40 juta penduduk, untuk bersaing dengan pasaran besar seperti India dan China. Inilah sebabnya tumpuan kepada kepelbagaian yang ketiga adalah kritikal.

“Saya berpendapat bahawa Malaysia perlu menjadi kuasa penggunaan. Ekonomi yang didorong terutamanya oleh rakyat akan menjadi penentu terpenting bagi trajektori jangka panjang dan kadar pertumbuhan kita,” katanya sambil memaklumkan Malaysia akan memulakan kitaran ekonomi yang baik melalui permintaan dalam negeri yang ditingkatkan.

Rafizi berkata penggunaan swasta yang lebih tinggi mewujudkan lebih banyak pekerjaan dalam semua sektor runcit, perkhidmatan dan pembuatan, yang akan diterjemahkan kepada pengangguran yang lebih rendah dan pendapatan boleh guna yang tinggi.

Beliau berkata peningkatan penjimatan ini membantu menyetempatkan pelaburan kepada infrastruktur awam yang lebih baik seperti penjagaan kesihatan dan pendidikan.

“Orang yang lebih sihat dan berpendidikan mewujudkan masyarakat yang lebih produktif. Sesuatu yang dilaburkan semula dalam pembangunan bakat sepanjang hayat dan mengelakkan penghijrahan cendekiawan.

“Ia mewujudkan kapasiti untuk mereka bentuk dan berinovasi, membentuk ekonomi yang lebih berdaya tahan terhadap turun naik pasaran global, pertikaian perdagangan dan geopolitik,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan