EKONOMI > BERITA

SC Gesa Pihak Berkepentingan Kewangan Islam Bekerjasama Demi Masa Depan Fintech Islam

05/09/2024 03:19 PM

KUALA LUMPUR, 5 Sept (Bernama) -- Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menggesa pihak-pihak berkepentingan dalam kewangan Islam untuk bekerjasama dan meletakkan asas bagi masa depan teknologi kewangan (fintech) Islam.

Pengerusi Datuk Mohammad Faiz Azmi menekankan keperluan untuk industri memikirkan semula pendekatan penjenamaannya dengan mencadangkan supaya memberi tumpuan kepada nilai etika dalam prinsip-prinsip Maqasid al-Shariah yang boleh menarik khalayak lebih luas.

"Kami percaya peralihan ini akan membolehkan kewangan Islam menarik demografi yang lebih luas tanpa menjejaskan nilai-nilai terasnya," kata beliau dalam ucapan perasmian Meja Bulat FIKRAtech pada Rabu.

Mohammad Faiz menekankan usaha SC untuk memupuk persekitaran yang menggalakkan inovasi,  membolehkan usahawan mengakses pembiayaan berasaskan pasaran untuk syarikat-syarikat pemula niaga dan peringkat awal.

Beliau berkata sejak 2015, SC telah memperkenalkan beberapa inisiatif seperti Garis Panduan Mengenai Pasaran Diiktiraf dan pelbagai platform untuk perbincangan industri termasuk Meja Bulat Fintech dan dialog dengan pemain-pemain utama.

Mohammad Faiz berkata Malaysia adalah negara pertama di rantau ASEAN yang memperkenalkan rangka kerja untuk pendanaan ekuiti ramai (ECF) pada 2015, bermula dengan hanya enam pemain.

Beliau berkata sejak itu sektor berkenaan telah berkembang dengan ketara melibatkan lebih 40 pemain merentas pelbagai vertikal fintech, termasuk pembiayaan rakan setara (pembiayaan P2P), pertukaran aset digital dan platform penawaran pertukaran permulaan.

Walaupun penyedia penyelesaian Islam masih mewakili segmen yang kecil dalam ekosistem pendanaan ramai, Mohammad Faiz berkata kehadiran mereka kini semakin berkembang.

Beliau berkata SC menyasarkan untuk memupuk landskap digital yang kukuh dengan menawarkan rangka kerja kawal selia seimbang bagi menyokong inovasi sambil mengekalkan integriti pasaran.

“Kita dapat lihat usaha ini membuahkan hasil. Di Malaysia, platform ECF dan P2P telah mengumpul lebih US$262 juta (RM1.24 bilion)  untuk projek-projek patuh syariah sejak tujuh tahun lalu,” katanya.

Tambahnya jumlah itu telah berkembang pesat dari 2022 hingga 2023, dengan penyelesaian ECF/P2P Islamik di Malaysia kini menyumbang sekurang-kurangnya 24 peratus daripada jumlah pembiayaan alternatif, berbanding hanya lapan peratus pada 2022.

“Secara keseluruhannya, ECF dan P2P Islamik dan bukan Islamik telah mengumpul kira-kira US$1.7 bilion (RM8 bilion), menyokong lebih 18,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana,” kata beliau.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan