EKONOMI > BERITA

MATRADE, CCB Perbaharui Perjanjian Untuk Pacu Akses Ke China

05/09/2024 03:54 PM

KUALA LUMPUR, 5 Sept (Bernama) -- Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) telah mengukuhkan komitmennya untuk meningkatkan akses pasaran ke China hari ini melalui pemeteraian emorandum persefahaman (MoU) dengan China Construction Bank Malaysia Bhd (CCB Malaysia).

Pengerusinya Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata perjanjian yang diperbaharui itu akan membantu pengeksport Malaysia dalam menerokai pasaran baharu dan mendapatkan pembiayaan yang lebih baik. 

“Rangkaian China Construction Bank yang meluas di China akan memudahkan hubungan perniagaan utama selain menyediakan penyelesaian kewangan yang disesuaikan kepada pengeksport Malaysia.

“Dalam persekitaran ekonomi yang mencabar hari ini, sokongan pembiayaan yang baik adalah penting bagi kejayaan sesebuah perniagaan. Kerjasama rapat kami dengan CCB akan mempromosikan inisiatif serta kemudahan pembiayaan ini kepada syarikat Malaysia, seterusnya memudahkan perdagangan antara Malaysia dan China,” katanya semasa ucaptama pada Sesi Pemadanan Perniagaan B2B Malaysia-China Ke-6, yang diadakan sempena Ekspo ASEAN-China ke 21 (CAEXPO) hari ini.

Acara yang dianjurkan secara bersama oleh MATRADE, CCB Malaysia, Sekretariat CAEXPO dan Kedutaan Republik Rakyat China di Malaysia itu, bertujuan mengukuhkan hubungan perdagangan.

Reezal Merican menekankan bahawa pengalaman luas MATRADE dalam mempromosikan produk termasuk perkhidmatan Malaysia di peringkat global, digabungkan dengan rangkaian meluas CCB Malaysia yang ditubuhkan sejak 2018, menyediakan asas mantap bagi MoU itu dalam melonjakkan hubungan perdagangan antara kedua-dua negara.

Beliau juga menjelaskan bahawa perkongsian itu adalah selaras dengan strategi MATRADE untuk meningkatkan eksport ke China dan memanfaatkan perjanjian perdagangan bebas seperti Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

Sesi Padanan Perniagaan B2B Malaysia-China Ke-6 menampilkan lebih 291 perusahaan, termasuk 116 syarikat Malaysia serta 175 syarikat China, dengan mengambil bahagian dalam 403 mesyuarat perniagaan melalui platform "Match Plus" CCB.

Acara selama dua hari itu akan merangkumi sektor seperti penjagaan kesihatan dan kesejahteraan, gaya hidup, makanan dan minuman, hasil pertanian serta perkhidmatan.

Berikutan kejayaan edisi ke-5 pada 2023, yang menyaksikan 140 transaksi perniagaan bernilai RM7.52 bilion (US$1.68 bilion), jangkaan untuk acara tahun ini adalah tinggi kerana ia bertujuan meningkatkan lagi perdagangan dua hala antara Malaysia dan China.

Perdagangan dua hala antara Malaysia dan China mencecah RM275.8 bilion (USD58.45 bilion) dari Januari hingga Julai 2024.

Sehingga kini, Malaysia telah mengeksport barangan bernilai RM105.47 bilion (US$22.34 bilion), terutamanya dalam eksport produk elektrik dan elektronik yang semakin bertambah. Import dari China bernilai RM170.34 bilion (US$36.1 bilion), merangkumi produk elektrik dan elektronik, mesin, peralatan, alat ganti, bahan serta produk kimia.

Turut hadir ialah Duta Besar Republik Rakyat China ke Malaysia, Ouyang Yujing.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan