BERITA TERGEMPAR   Paris route represents Malaysia Airlines’ 68th destination and will be served by A350-900 aircraft - Capt Izham | 
 EKONOMI > BERITA

SC Dedah Penipuan Guna Dokumen Pelaburan Palsu

06/09/2024 01:02 PM

KUALA LUMPUR, 6 Sept (Bernama) -- Suruhanjaya Sekuriti (SC) hari ini memberi amaran kepada orang ramai mengenai taktik penipuan pelaburan baharu yang menggunakan Memorandum Maklumat (IM) palsu untuk mendapatkan pelaburan daripada orang ramai.

Menurut SC dalam kenyataan hari ini, taktik ini mendakwa secara palsu bahawa IM tersebut telah diserah atau disahkan oleh SC.

Katanya di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA), syarikat awam tidak tersenarai yang mengeluarkan IM untuk mengumpul dana dikehendaki menyerahkannya kepada SC dalam tempoh tujuh hari selepas terbitan kepada bakal pelabur.

Bagaimanapun, katanya penyerahan IM tidak dianggap sebagai pengesahan oleh SC.

“Dalam kes ini, SC mendapati syarikat tersebut memberi gambaran kepada pelabur bahawa ia telah mengeluarkan IM yang kononnya diserahkan kepada SC, sekali gus mengelirukan pelabur dan memberikan kredibiliti kepada skim pelaburannya.

“SC ingin mengesahkan bahawa syarikat itu tidak menyerahkan sebarang IM kepada SC dan mengesyaki bahawa ia adalah sebahagian daripada penipuan pelaburan,” katanya. 

Tindakan segera telah diambil terhadap syarikat tersebut termasuk memfailkan laporan polis dan memasukkan syarikat itu dalam Senarai Makluman Pelabur SC di https://www.sc.com.my/investor-alert-list.

Menurut SC, pihaknya memandang serius perkara ini kerana tindakan sedemikian boleh menyebabkan orang ramai percaya bahawa SC menyokong dan meluluskan produk pelaburan berkaitan.

“Pihak awam amat digalakkan untuk mengesahkan sebarang tawaran menggunakan nama SC atau mana-mana pegawainya dan melaporkan perkara ini serta sebarang aktiviti atau maklumat pelaburan yang mencurigakan kepada SC.

“Ini akan membantu melindungi pelabur daripada potensi risiko dan membantu mereka dalam membuat keputusan pelaburan termaklum,” katanya. 

-- BERNAMA

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan