EKONOMI > BERITA

BYD Bakal Lancar Model Denza Di Malaysia Pada Suku Pertama 2025

06/09/2024 06:02 PM

KUALA LUMPUR, 6 Sept (Bernama) -- BYD, pengeluar automotif dari China akan memperkenalkan subjenamanya iaitu Denza kepada pasaran Malaysia pada suku pertama 2025.

Pengarah Urusan BYD Malaysia Sdn Bhd Eagle Zhao berkata model baharu itu akan mengukuhkan lagi kehadiran syarikat dan menawarkan lebih banyak pilihan bagi memenuhi "permintaan besar" dalam pasaran tempatan.

“Kami akan memperkenalkan Denza yang menggunakan teknologi BYD iaitu dengan teknologi kenderaan elektrik (EV) dan kenderaan elektrik hibrid plug-in (PHEV),” katanya selepas melancarkan varian baharu BYD Seal yang dikenali sebagai BYD Seal Dynamic, model sedan elektrik dan kenderaan utiliti sukan (SUV) Atto 3.

Beliau berkata BYD tidak sabar-sabar untuk meningkatkan kerjasamanya dengan Sime Darby Motors Sdn Bhd (SDM) melebihi daripada sekadar berkongsi hak pengedaran dengan ketibaan Denza.

"Kami mengalu-alukan rakan tempatan untuk menyokong kami dalam banyak bidang bagi memperkenalkan jenama kami ke Malaysia," katanya.

Mengenai pelancaran varian BYD Seal Dynamic baharu dan Atto 3, Zhao berkata varian baharu itu akan menyokong peralihan ke arah mobiliti yang dipacu dengan teknologi lebih mampan untuk pasaran Malaysia.

Menurut beliau, model tersebut menawarkan pilihan untuk mencari pengalaman pemanduan moden yang mesra alam.

BYD Seal Dynamic melengkapkan tiga varian Seal yang dijual pada harga bermula RM163,800 untuk kenderaan sahaja, manakala Atto 3 berharga RM149,800. Kedua-duanya boleh didapati di pasaran mulai hari ini.

-- BERNAMA 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan