EKONOMI > BERITA

Malaysia Airlines Tawar Penerbangan Terus Ke Paris Bermula Mac 2025

06/09/2024 04:46 PM

KUALA LUMPUR, 6 Sept (Bernama) -- Malaysia Airlines akan menawarkan penerbangan terus ke Lapangan Terbang Charles de Gaulle, Paris dari Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bermula 22 Mac 2025.

Malaysia Aviation Group (MAG) berkata perkhidmatan itu akan mengendalikan empat penerbangan mingguan, dan tiket untuk laluan itu akan tersedia mulai 6 Sept 2024, dengan tambang pengenalan pergi balik termasuk semua sebanyak RM3,699.

Pengarah Urusan Kumpulan Datuk Kapten Izham Ismail berkata laluan Paris yang mewakili destinasi ke-68 Malaysia Airlines akan menggunakan pesawat A350-900.

“Meskipun pasaran Eropah sangat berdaya saing, MAG melihat potensi besar laluan Paris ini untuk menarik pelancong utama, bukan sahaja dari Malaysia tetapi juga dari jiran serantau.

“Dengan ketibaan pesawat berbadan lebar tambahan bermula suku keempat ini, kumpulan bersedia untuk terbang ke bandaraya yang dinanti-nantikan kembali ke rangkaiannya,” katanya pada sidang media di Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia 2024 (MATTA Fair 2024) di sini hari ini.

Izham berkata kumpulan itu telah menilai destinasi Eropah sejak tiga tahun lepas dan melihat Paris mempunyai permintaan penumpang yang tinggi bagi semua hala.

“Ia boleh mengubungkan penumpang dari Amerika Utara dan Eropah Utara serta Australia, Asia dan New Zealand.

“Jadi pada asasnya, kami berasa sangat yakin bahawa Paris adalah destinasi terbaik dalam laluan pertumbuhan kami, dan ia juga membantu kami memudahkan usaha untuk menjadikan KLIA sebagai hab yang kukuh di rantau Asia Pasifik,” katanya.

Menurut Izham destinasi tumpuan syarikat penerbangan itu pada 2025 adalah Australia dan Asia Selatan dengan jangkaan peningkatan permintaan bagi destinasi berkenaan.

Pada majlis itu, MAG turut mengumumkan Malaysia Airlines dan Google Gemini sedang mengubah pengalaman perjalanan dengan mempamerkan teknologi kecerdasan buatan (AI) termaju, Gemini, buat pertama kali pada demonstrasi fizikal di Malaysia di Arena MAG.

Ia berkata Malaysia Airlines juga sedang merombak program perjalanan korporatnya daripada MHbiz TRAVEL kepada MHcorporate, bertujuan memberikan fleksibiliti yang tiada tandingan, penjimatan pendahuluan pada laluan Malaysia Airlines, dan penyelesaian perjalanan yang disesuaikan untuk kedua-dua perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat besar.

Untuk meraikan pelancaran itu, PKS yang mendaftar dalam MHcorporate memperoleh empat kali mata enrich korporat pada tambang asas dan menikmati diskaun tambahan lima peratus bagi tawaran MATTA Fair untuk perjalanan sehingga 31 Dis 2024.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan