EKONOMI > BERITA

SC Teroka Mengintergrasikan Prinsip Maqasid Al-Shariah Untuk Pertingkatkan Amalan Sosial, Tadbir Urus Syarikat

07/09/2024 11:40 PM

KUALA LUMPUR, 7 Sept (Bernama) -- Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) sedang meneroka kaedah bagaimana syarikat boleh menggunakan aspirasi dan prinsip Maqasid al-Shariah dalam produk dan perkhidmatan mereka serta mempunyai amalan sosial dan tadbir urus yang lebih baik.

Pengerusinya Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata langkah itu adalah penting kerana sesetengah syarikat hanya menumpukan kepada memaksimumkan keuntungan sehingga merugikan pihak berkepentingan dan planet ini.

“Dalam konteks perubahan iklim, data yang disediakan oleh saintis mengenai penurunan biodiversiti yang membimbangkan, corak cuaca berubah, keamatan kejadian cuaca dan kenaikan paras laut yang akan berlaku, semuanya perlu diambil kira menerusi cara syarikat beroperasi,” katanya ketika berucap di Meja Bulat Pusat Pengajian Islam (OCIS) SC-Oxford ke-15 yang diadakan di OCIS, United Kingdom hari ini.

Beliau berkata satu lagi bidang yang perlu diberi tumpuan oleh syarikat ialah komitmen mereka terhadap piawaian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

“Sekali lagi, kami mempunyai banyak contoh dalam syarikat yang kelihatan mengutamakan keuntungan daripada keselamatan atau tidak ambil peduli mengenai cara mereka menjalankan perniagaan mereka tanpa mengambil kira tadbir urus dan akauntabiliti yang betul.

“Dan terdapat juga banyak syarikat yang terus mengurus pekerja mereka dengan teruk. Kesukaran yang saya rasa kadang-kadang dalam mengejar keuntungan, belas ihsan, empati dan asas kemanusiaan seolah-olah dilupakan,” katanya.

Beliau berkata SC mengeluarkan Panduan Maqasid al-Shariah untuk Pasaran Modal Islam di Malaysia pada November 2023 untuk menerapkan aspirasi dan prinsip ini dalam konteks pasaran modal.

“Kami telah melibatkan diri dengan beberapa pihak di Malaysia, sama ada milik asing dan tempatan mengenai bagaimana prinsip ini boleh digunakan untuk produk dan perkhidmatan.

“Selain itu, kami juga telah memulakan dialog dengan penggiat tempatan untuk melihat bagaimana prinsip Maqasid boleh digunakan untuk projek sedia ada dan sama ada beberapa bentuk saringan adalah sesuai,” katanya.

Justeru, beliau berharap dapat melihat bagaimana nilai sejagat ini yang terkandung dalam Maqasid al-Shariah boleh diterapkan dengan sebaiknya di seluruh rantaian nilai sesebuah syarikat, merangkumi pembiayaan kepada penyampaian produk dan perkhidmatan serta cara ia memenuhi jangkaan pihak berkepentingan.

"Ia juga akan menjadikan produk dan perkhidmatan Kewangan Islam lebih relevan kepada isu yang dihadapi," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan