EKONOMI > BERITA

99 Speed Mart Pertimbang Rancangan Perluas Ke Asia Tenggara

09/09/2024 02:36 PM

KUALA LUMPUR, 9 Sept (Bernama) -- 99 Speed ​​Mart Retail Holdings Bhd, yang baru disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia, tidak menolak untuk berkembang ke Asia Tenggara jika peluang yang sesuai timbul.

Pengarah Gantian Albert Lee berkata pihaknya tetap terbuka kepada peluang kerjasama yang menjanjikan masa depan yang cerah.

“Kami mahu memanfaatkan peluang sebaiknya. Setakat ini, kami belum mempunyai perancangan menyeluruh namun, jika ada peluang, kami akan mempertimbangkannya,” katanya kepada pemberita selepas penyenaraian syarikat itu pada Isnin.

Kaunter dengan nama saham 99SMART itu merekodkan dagangan awal yang kukuh, melonjak 12.12 peratus kepada RM1.85 daripada harga tawaran awam awal (IPO) RM1.65, dan 53.82 juta saham bertukar tangan.

Albert berkata di peringkat domestik, 99 Speed ​​Mart sedang menumpukan usaha memperkukuh operasi jualan pukal dan perkhidmatan e-dagang untuk pesanan minimum bernilai RM500 susulan pembukaan cawangan wilayah selatan pada Julai.

Perkhidmatan itu bermula pada September tahun lepas bagi wilayah tengah.

“Kami sedang menilai aktiviti dan sambutan pasaran terhadapnya seterusnya akan membuat pelarasan yang sewajarnya. Kami kekal positif,” katanya.

Beliau berkata 99 Speed ​​Mart juga sedang mengembangkan Yiwu Speed ​​Mart Import & Export serta Yiwu J-Jade Trading di China untuk meningkatkan aktiviti pemerolehan.

Daripada langkah IPO itu, syarikat mengumpul RM2.36 bilion, sebahagian daripadanya akan digunakan untuk meningkatkan bilangan cawangan kepada 3,000 pada 2025 daripada 2,651 pada masa kini.

Albert berkata berdasarkan rancangan untuk membuka 250 cawangan baharu setiap tahun, pihaknya menyasarkan pertumbuhan melebihi purata industri runcit sebanyak 5.0 peratus.

“Sasaran yang kami mahu lakukan adalah sekurang-kurangnya berada di atas purata industri,” katanya.

Penyenaraian 99 Speed ​​Mart merupakan IPO terbesar Malaysia dalam tempoh tujuh tahun selepas penyenaraian Lotte Chemical Titan Holding Bhd pada 2017, yang mengumpul RM3.77 bilion.

Mengenai prestasi saham, beliau berkata ia mencerminkan keyakinan terhadap syarikat dan akan memberikan momentum untuk kemajuan masa depan pihaknya.

Pengasas, Pegawai Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Lee Thiam Wah pula menyifatkan hari ini sebagai satu peristiwa penting untuk 99 Speed ​​Mart kerana memasuki pasaran modal untuk menyokong aspirasi pertumbuhan.

“Visi kami kekal jelas, iaitu untuk mengukuhkan kedudukan sebagai antara peneraju pasaran dalam sektor barang keperluan harian runcit Malaysia,” katanya.

Lee turut bersyukur atas kejayaan semasa syarikat dan penyenaraian di Bursa Malaysia.

“Susulan penyenaraian kami di bursa, ini juga bermakna kami akur dengan tahap kebertanggungjawapan dan ketelusan yang lebih tinggi antara syarikat dan orang ramai.

“Ini adalah sesuatu yang kami gembira untuk lakukan, dan kami akan terus memastikan perniagaan semakin berkembang dan maju,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan