EKONOMI > BERITA

Eksport CKD Proton Ke Mesir Dijangka Sumbang RM570 Juta Menjelang 2026 - MITI

09/09/2024 04:23 PM

SUBANG JAYA, 9 Sept (Bernama) – Eksport pemasangan tempatan (CKD) Proton Holdings Bhd ke Mesir dianggar menyumbang 16,000 unit kepada jumlah kuantiti eksport syarikat itu bermula suku keempat tahun ini hingga akhir 2026, yang bakal menjana perolehan bernilai RM570 juta.

Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Datuk Hanafi Sakri berkata tambahan RM20 juta akan dijana daripada jualan alat-alat ganti untuk menyokong perkhidmatan pelanggan. 

“Selain aspek monetari perdagangan, penubuhan kilang CKD untuk memasang kenderaan Proton di Mesir akan membolehkan pemindahan dan pertumbuhan kecekapan dalam bidang seperti teknologi, amalan terbaik dan kepakaran dalam sektor automotif kereta,” katanya menerusi ucap tama beliau pada majlis penghantaran eksport CKD pertama Proton ke Mesir di Proton Centre of Excellence, di sini, hari ini.

Hanafi berkata projek itu juga akan membuka ruang kepada potensi kerjasama antara syarikat Mesir dan pembekal alatan ganti bertaraf dunia dari Malaysia. 

“Ini, seterusnya, berkemungkinan boleh menjadikan Mesir sebagai hab pemasangan serantau bagi Proton untuk pasaran Afrika Utara.

“Ia juga boleh memberi peluang kepada pembekal di Malaysia untuk mengembangkan jualan eksport mereka,” katanya.

Sementara itu, pengerusi Proton Tan Sri Syed Faisal Albar berkata pasaran eksport terus menjadi tonggak penting bagi Proton.

“Untuk mencapai cita-cita menjadi pemain pasaran global yang besar, kami tidak boleh bergantung semata-mata kepada pasaran domestik. Oleh itu, eksport adalah penting.

“Proton sudah pun berada di 20 negara termasuk pasaran di Asia, Timur Tengah dan Afrika. Acara hari ini amat penting bagi kami kerana sejak enam tahun lalu, Proton telah mengeksport kira-kira 3,200 unit komponen dipasang sepenuhnya (CBU) ke Mesir, dengan Proton Saga menjadi model paling popular,” katanya pada majlis itu.

Syed Faisal berkata ini akan menyumbang kepada pembangunan selanjutnya industri automotif Mesir pada masa depan, mencipta pekerjaan, memperkenalkan teknologi baharu dan merangsang aktiviti ekonomi yang diharapkan akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

“Hab pemasangan serantau di Mesir akan menjadi yang pertama bagi Proton untuk model pemanduan kiri di luar negara, dan kami berharap platform ini juga akan membolehkan kami berkembang lebih jauh ke negara jiran, menggunakan Mesir sebagai hab,” katanya.

Turut hadir ialah Duta Mesir ke Malaysia, Ragai Tawfik Said Nasr.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan