EKONOMI > BERITA

IOIPG Melestarikan Alam Sekitar Dalam Pembangunan Hartanah

10/09/2024 09:32 AM

KUALA LUMPUR, 9 Sept (Bernama) -- IOI Properties Group Bhd (IOIPG) terus mengekalkan rekodnya sebagai pemaju hartanah yang prihatin terhadap alam sekitar melalui pelbagai pembangunan yang dilaksanakan di Bandar Puteri Puchong dan Bandar Puchong Jaya.

Dalam kenyataannya hari ini, IOIPG memaklumkan usaha tersebut termasuk ciri-ciri pembinaan mesra alam dan kesalinghubungan yang baik selain pelbagai program kesedaran yang melibatkan orang awam.

Menurut kenyataan itu antara program terbaharu oleh IOIPG di Puchong ialah Nature Observation Night yang diadakan di Taman Bandar Puteri pada 7 Sept dengan kerjasama Persatuan Alam Semulajadi Malaysia (SOWM) dan berjaya menarik lebih 100 peserta untuk menikmati keindahan flora serta fauna di taman bandar itu.

Pengurus Besar Kanan (Puchong) IOIPG (Puchong) Chung Nyuk Kiong melalui kenyataan itu dipetik sebagai berkata, “Sebagai warga korporat yang bertanggungjawab, IOIPG membina untuk masa depan dan melindungi kepentingan generasi akan datang. 

“Kami menggalakkan amalan gaya hidup lestari dengan meletakkan ‘perkakasan’ yang bersesuaian di seluruh projek kediaman dan komersial kami termasuk panel solar, tempat mengecas kenderaan elektrik, laluan mesra basikal dan banyak lagi,” katanya.

Chung berkata syarikat itu juga berusaha memupuk sikap menghargai alam semula jadi dan memahami tentang kelestarian menerusi sesi interaktif yang menyeronokkan di lapangan bagi menggalakkan masyarakat untuk turut terlibat dalam pemuliharaan ekologi serta memanfaatkan penyelesaian berasaskan alam semula jadi bersama-sama.

Beliau berkata program lain IOIPG seperti City Nature Challenge (CNC) 2024, CNC Kids Nature Walk, Town Park Night Walk, Earth Hour dan kempen Waste to Treasure juga mendapat sokongan kuat daripada orang awam dan menerima penyertaan peserta daripada pelbagai latar belakang.

Selain itu, susulan pelancaran Bandar Puteri Puchong dan Bandar Puchong Jaya, syarikat tersebut turut memasukan prinsip kelestarian bagi keseluruhan fasa pembinaan dan operasinya termasuk penggunaan sistem acuan dalam 98 peratus pembangunan untuk 2Rio Residence, yang dapat mengurangkan bahan sisa buangan.

Chung berkata inisiatif pembangunan lestari lain termasuk penggunaan sistem platfrom daki sendiri di IOI Rio yang meningkatkan kelajuan dan keselamatan selain kawalan kualiti untuk kemasan luaran.

“Dalam fasa operasi, kami memastikan kecekapan tenaga dan melabur dalam tenaga boleh diperbaharui untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) seperti pencahayaan CCTV berkuasa solar yang disetkan mengikut masa untuk kawasan umum dan eskalator yang diaktifkan oleh pergerakan serta pelbagai landskap menyediakan naungan dan mengurangkan kesan pulau haba bandar,” katanya.

Maklumat lanjut mengenai inisiatif lestari oleh IOI Properties boleh dilayari www.ioiproperties.com.my/ioi-sustain.

Untuk mereka yang mahu mengetahui lebih lanjut Bandar Puteri Puchong dan Bandar Puchong Jaya sila layari www.ioiproperties.com.my/township/bandar-puteri-puchong-puchong-jaya atau hubungi 03-8060 8833.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan