EKONOMI > BERITA

Malaysia Konsisten Pastikan Kelestarian Alam Sekitar Dalam Pengeluaran Minyak Sawit - KPK

10/09/2024 10:00 PM

Daripada Siti Noor Afera Abu

ROTTERDAM, 10 Sept (Bernama) -- Malaysia secara konsisten melaksanakan langkah proaktif untuk memastikan kelestarian alam sekitar industri minyak sawit dapat memenuhi piawaian dan peraturan pembasmian hutan Eropah, kata Ketua Setiausaha Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) Datuk Yusran Shah Mohd Yusof.

Bagaimanapun beliau juga bimbang sekiranya sektor minyak sawit Malaysia masih terkesan dengan Peraturan Pembasmian Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) yang berpotensi menjejaskan reputasi walaupun Malaysia mengenakan piawaian alam sekitar yang ketat.

Beliau berkata perkara itu boleh menyebabkan eksport ke Kesatuan Eropah (EU), sebagai pasaran utama minyak sawit, mengalami penurunan.

Malaysia sentiasa menyokong amalan perdagangan saksama di samping komited dalam memastikan pengeluaran minyak sawit tidak menjejaskan alam sekitar, katanya ketika berucap pada Persidangan Minyak Sayuran Mampan kali ketiga anjuran Majlis Negara-negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) di sini, pada Selasa.

Yusran Shah berkata di sebalik usaha itu, ada beberapa cabaran yang timbul daripada peraturan alam sekitar baharu.

Beliau berkata Malaysia dan EU telah bekerjasama dalam kempen sokongan awam untuk membentuk pendapat dan dasar.

“Walaupun kumpulan alam sekitar Eropah mendesak supaya peraturan yang lebih ketat dikenakan namun, Malaysia telah menguar-uarkan usaha kemampanannya untuk membidas persepsi negatif,” katanya.

Beliau berkata isu utama bukanlah mengenai cara Malaysia boleh menggantikan minyak sawit yang dianggap secara meluas sebagai minyak sayuran paling efisien, tetapi keutamaan adalah memenuhi permintaan yang semakin meningkat dengan kaedah yang cekap, menguntungkan dari segi ekonomi dan mampan.

“Keutamaan kita seharusnya menggalakkan amalan agronomi yang lebih baik dan menambah baik tadbir urus di ekonomi yang kurang maju.

“Dasar mampan, sama ada dikuatkuasakan oleh undang-undang atau diterima pakai secara sukarela, mesti berasaskan sains yang kukuh, penggunaan praktikal merentas rantaian bekalan dan boleh ditentukan kesahan,” katanya.

Beliau berkata objektif itu diiktiraf secara universal, menjadikannya penting bagi negara pengeluar seperti Malaysia untuk menunjukkan kemajuan ketara yang dicapai ke arah kemampanan.

Beliau berkata industri minyak sawit Malaysia mesti terus menyokong amalan mampan terutama melalui pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia untuk memenuhi permintaan global.

Pada masa sama, penetapan harga yang kompetitif untuk mengekalkan reputasi kukuh bagi kemampanan juga sama pentingnya, katanya.

Yusran Shah berkata permintaan global terhadap minyak sayuran yang akan meningkat menimbulkan cabaran kritikal bagi negara pengeluar untuk mengimbangi keperluan memenuhi permintaan dengan memastikan pengeluaran yang mampan.

“Walaupun peningkatan pengeluaran adalah penting untuk jaminan makanan dan pertumbuhan ekonomi namun, ia mesti dicapai dengan cara yang melindungi alam sekitar, memelihara kepelbagaian biologi serta menghormati hak dan mata pencarian masyarakat tempatan,” katanya.

Beliau berkata Malaysia sedang mengambil tindakan untuk menerajui pengeluaran minyak sayuran yang mampan melalui industri minyak sawitnya.

Pengeluaran mampan bukan sahaja satu keperluan ekonomi malah juga obligasi moral dan ekologi yang menjadi faktor utama untuk mewujudkan masa depan yang lebih saksama dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar, katanya.

“Mencari keseimbangan ini penting untuk kesejahteraan generasi kini dan akan datang,” katanya.

Yusran Shah juga menekankan peranan penting minyak sawit dalam jaminan makanan global susulan produktivitinya yang tinggi, pelbagai penggunaan dan keupayaan untuk meningkatkan pengawetan makanan.

Beliau berkata bagi mengekalkan sumbangan itu, usaha mempromosikan amalan perladangan yang bertanggungjawab serta melindungi biodiversiti dan komuniti tempatan menjadi keutamaan.

“Dengan menangani kebimbangan terhadap alam sekitar dan sosial, minyak sawit boleh terus berperanan penting dalam memenuhi keperluan jaminan makanan global,” katanya.

-- BERNAMA


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan