EKONOMI > BERITA

Malaysia Di Landasan Jadi 'Harimau Asia,' Tarik Pelaburan Asing - Nga

10/09/2024 11:41 PM

KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) --  Malaysia berada di landasan untuk muncul sebagai ‘Harimau Asia’ dengan lima kelebihan unik bagi menarik pelaburan asing, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Beliau berkata aspek kestabilan politik Malaysia adalah teras bagi menarik pelaburan dan kerajaan MADANI telah memberi panduan jelas melalui beberapa pelan tindakan strategik seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Baharu (NETR).

Kesemua perancangan utama itu juga mula memberi hasil dengan ekonomi negara negara berada di landasan sewajarnya, termasuk pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mengatasi jangkaan sejak dua suku lepas.

Perkembangan itu, katanya, menyebabkan institusi kewangan antarabangsa bertindak meningkatkan penarafan untuk pasaran Malaysia yang membolehkan negara ini menjadi destinasi pelaburan asing yang menarik.

“Di samping itu, kepelbagaian budaya Malaysia pula memudahkan integrasi pelabur asing dengan kekangan bahasa yang minimum.

“Kewujudan sekolah antarabangsa berkualiti tinggi juga membolehkan pelabur membawa keluarga berpindah dan mempunyai rumah kedua di sini," katanya ketika berucap pada acara Konvensyen Usahawan Cina Sedunia (WCEC) ke-17 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini.

Pada masa sama, Nga turut menekankan kepentingan melindungi kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di tengah-tengah aliran masuk pelaburan asing itu.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan agar syarikat-syarikat asing ini tidak membawa masuk industri yang tidak diperlukan ke Malaysia.

“Apabila syarikat China melabur di Malaysia misalnya, mereka perlu menggaji 50 peratus pekerja tempatan dan membenarkan 50 peratus kepentingan ekuiti dipegang oleh perniagaan tempatan.

"Ini penting kerana walaupun kita mengalu-alukan pelaburan asing, syarikat tempatan juga harus dilindungi dan mendapat manfaat daripada pelaburan ini menerusi sinergi strategik," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan