EKONOMI > BERITA

Malaysia Terus Menarik FDI Di Sebalik Persaingan Serantau

11/09/2024 05:13 PM

Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani

KUALA LUMPUR, 11 Sept (Bernama) -- Malaysia terus menarik pelaburan langsung asing (FDI) meskipun berdepan persaingan sengit daripada penggiat serantau seperti Vietnam dan Singapura.

Perunding Risiko Politik dan Pengarah Strategi KRA Group Amir Fareed Rahim berkata, walaupun persaingan itu berlarutan, angka terkini menunjukkan Malaysia terus memegang kedudukan penting dalam radar pelaburan global.

“Pada separuh pertama 2024, negara meraih pelaburan berjumlah RM160 bilion, menunjukkan peningkatan 18 peratus tahun ke tahun, didorong oleh asas ekonominya yang kukuh.

“Inflasi yang rendah (2.0 peratus), kadar faedah stabil (3.0 peratus) dan angka pengangguran yang konsisten (3.3 peratus) menjadikan Malaysia sebagai destinasi menarik bagi pelabur,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, apa yang penting, lebih separuh daripada pelaburan ini diperuntukkan kepada sektor yang dikenal pasti di bawah Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA), dengan RM60.1 bilion diperuntukkan kepada sektor pembuatan.

“Galakan ini dijangka mewujudkan lebih 33,000 pekerjaan bernilai tinggi dalam jawatan pengurusan, teknikal dan buruh mahir.

“Kitaran meningkat semikonduktor global telah melaksanakan peranan dalam pertumbuhan ini. Bagaimanapun ekosistem Malaysia yang teguh dan dasar kerajaan turut memainkan peranan penting dalam menarik pelabur kepada industri utama ini,” katanya.

Amir berkata, bagi membina momentum ini, kerajaan perlu memberi tumpuan untuk memaksimumkan kesan limpahan pelaburan bagi memastikan industri tempatan terutama perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mendapat manfaat daripada pertumbuhan ini.

“Ini bukan sahaja membantu ekonomi, malah turut memupuk pembangunan inklusif, iaitu ukuran utama kejayaan.

“Keutamaan ekonomi yang jelas oleh kerajaan Malaysia, disokong oleh pelan tindakan seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR), terus memberikan keyakinan kepada pelabur terhadap trajektori pertumbuhan jangka panjang Malaysia,” katanya.

Amir berkata membangunkan saluran bakat yang kukuh adalah penting untuk mengekalkan pertumbuhan masa depan.

“Meletakkan Malaysia sebagai hab penyelidikan dan pembangunan untuk industri seperti elektronik dan kejuruteraan elektrik adalah penting.

"Ini memerlukan pelaburan yang berterusan di universiti dan pusat penyelidikan bertaraf dunia yang menggabungkan kepakaran tempatan dan antarabangsa," katanya.

Dari segi geopolitik, Amir menyifatkan sikap keberkecualian Malaysia dalam dasar luar semakin dilihat sebagai aset dalam landskap global yang tidak menentu, justeru membantu mengekalkan keyakinan pelabur.

“Di dalam negara, mencapai sasaran penjimatan RM11.5 bilion daripada rasionalisasi subsidi tanpa tindak balas politik akan menguji keupayaan kerajaan untuk mengharungi isu yang rumit,” katanya.

Dengan  Malaysia bersedia untuk mempengerusikan ASEAN pada 2025, Amir menekankan bahawa tumpuan akan diberikan untuk memanfaatkan kekuatan ekonomi digital, teknologi hijau dan pembuatan.

“Mengekalkan kestabilan politik dan pemesejan dasar yang konsisten akan menjadi penting dalam menarik pelaburan jangka panjang.

"Memandangkan Malaysia meletakkan dirinya sebagai ekonomi yang stabil, telus dan mesra perniagaan, dasar luar negara yang strategik dan kedudukan perdagangannya akan memainkan peranan penting dalam mengekalkan keyakinan pelabur dan memacu pertumbuhan masa depan," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan