EKONOMI > BERITA

KLIA Dahului Senarai 25 Teratas Megahab Kos Rendah

11/09/2024 05:48 PM

KUALA LUMPUR, 11 Sept  (Bernama) -- Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mendahului senarai 25 Teratas Megahab Kos Rendah, dengan menawarkan 14,583 ketersambungan kos rendah merentasi 137 destinasi, menurut laporan oleh OAG Megahubs 2024.

OAG Megahubs memberi penarafan ketersambungan hab lapangan terbang antarabangsa terkemuka dunia, peringkat global dan serantau serta pintu masuk ke pasaran domestik dengan menyediakan platform untuk perbandingan. 

Laporan itu juga menyatakan bahawa AirAsia, syarikat penerbangan tambang rendah terbesar di Asia, adalah syarikat penerbangan yang dominan di lapangan terbang, dengan mengendalikan 35 peratus daripada jumlah penerbangan antara Ogos 2023 dan Ogos 2024 dan menyumbang 48 peratus daripada semua syarikat penerbangan tambang rendah (LCC).

Ia berkata di peringkat global, KLIA naik ke tangga kedua daripada senarai 50 Teratas Megahab tahun ini serta diiktiraf sebagai lapangan terbang paling tersambung di Asia Pasifik.

“KLIA tidak mencapai volum sambungan tertinggi berbanding beberapa hab terbesar dalam indeks, tetapi ia mempunyai nisbah sambungan yang tinggi ke destinasi yang disediakan, ini telah menaikkan kedudukannya dari tempat ke-12 pada 2019 kepada keempat pada 2023,” katanya.

Dalam catatan di Linkedln, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Bhd Tan Sri Tony Fernandes berkata pencapaian itu adalah bukti sebenar daya tahan dan keupayaan rantau Asia Pasifik, dan AirAsia bersedia untuk menyokong masa depan ketersambungan di rantau ini.

“(Saya) berbangga melihat KLIA diiktiraf sebagai (hab) LCC nombor satu dalam laporan OAG Megahubs 2024. Ini lebih daripada sekadar penarafan malah ia mencerminkan sejauh mana kita telah bersatu," katanya.

Beliau berkata AirAsia berada di landasan untuk menerbangkan lebih 12 juta penumpang yang berlepas dari KLIA tahun ini, dan jumlah penumpang diunjurkan mencecah 15 juta menjelang 2025.

“Memandangkan perjalanan udara antarabangsa semakin meningkat, kami kekal komited untuk membina masa depan di mana semua orang boleh meneroka dunia,” katanya.

Sementara itu, Lapangan Terbang Heathrow London kekal sebagai lapangan terbang antarabangsa paling tersambung di dunia pada 2024 dan lapangan terbang keempat terbesar di dunia dari segi kapasiti sehala yang dijadualkan antara Ogos 2023 dan Ogos 2024.

Laporan OAG Megahubs 2024 turut menyatakan Asia Pasifik menempatkan tiga daripada lima Megahab Teratas, iaitu KLIA, Lapangan Terbang Antarabangsa Tokyo dan Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon.

Data untuk laporan itu diperoleh daripada hari trafik paling tinggi untuk penerbangan global tahun lepas, bagi tempoh September 2023 hingga Ogos 2024.

-- BERNAMA  

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan