EKONOMI > BERITA

Sidec Lancar Program Pemecut Berkembar Tingkat Ekosistem PKS, Pemula Niaga

11/09/2024 06:44 PM

KUALA LUMPUR, 11 Sept (Bernama) -- Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) melancarkan program pemecut berkembarnya yang menampilkan kohort ketujuh Program Pemecut Selangor (SAP24) dan kohort kedua Selangor E-Commerce Xccelerator (ECX24).

Sidec dalam satu kenyataan hari ini berkata, program itu bertujuan untuk memperkukuh ekosistem perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat pemula niaga di Selangor serta mewujudkan syarikat bernilai berjuta-juta dolar yang boleh memberi sumbangan besar kepada keluaran dalam negara kasar negeri.

Sebanyak 50 pemula niaga yang menumpukan pada kecerdasan buatan (AI), mobiliti pintar, penyelesaian berasaskan bio dan sifar bersih telah dipilih bagi SAP24.

Sementara itu, 50 PKS daripada sektor termasuk makanan dan minuman, kediaman dan perkakas rumah, fesyen dan gaya hidup, kesihatan, kecantikan dan kesejahteraan serta impak sosial telah dipilih bagi ECX24.

Ketua Pegawai Eksekutif Sidec Yong Kai Ping berkata lebih 550 permohonan diterima untuk menyertai SAP24 dan ECX24, menunjukkan minat dan semangat yang tinggi dalam komuniti keusahawanan.

Yong berkata ini mencerminkan reputasi Selangor yang semakin meningkat sebagai hab pembangunan inovasi dan perniagaan.

“Kami komited melaksanakan proses pemilihan yang ketat untuk melahirkan usahawan berimpak tinggi yang berupaya membangunkan syarikat bernilai tinggi yang mencatatkan pertumbuhan kukuh.

“Fokus utama adalah untuk mengenal pasti dan menyokong bakat yang cemerlang dan perniagaan inovatif yang berpotensi untuk berkembang pesat dan memberi sumbangan besar kepada ekonomi, yang seterusnya menjadikan Selangor sebagai peneraju dalam pasaran global,” katanya.

Program ECX24 berlangsung selama empat bulan merangkumi modul komprehensif yang termasuk bengkel perniagaan dan kursus pembentangan idea.

Bahagian tumpuan utama termasuk AI dalam e-dagang, penjenamaan, strategi pertumbuhan, pengembangan rentas sempadan, analisis data dan pengurusan kewangan.

Peserta akan mendapat manfaat daripada sesi bimbingan dengan pemimpin industri, memperoleh pandangan dan kepakaran bernilai untuk berkembang maju dalam era digital dan mengembangkan perniagaan mereka dengan jayanya.

Pemenang ECX24 akan menerima anugerah berprestij, termasuk trofi, sijil, hadiah wang tunai dan peluang pelaburan serta peluang untuk menyertai program khas oleh ByteDance TikTok di Shanghai, China.

Sementara itu, SAP24 menyasar untuk mempercepat pertumbuhan syarikat pemula teknologi Malaysia dengan menyediakan bimbingan, peluang rangkaian, bengkel bagi membantu mereka membuat pelaburan dan pengembangan.

Pemula niaga juga akan menikmati faedah seperti perkhidmatan awan, keahlian dalam Kelab CXO, peluang untuk menyertai pameran di Konvensyen Ekonomi Digital dan Bandar Pintar Selangor Ke-9 dan mengembang capaian antarabangsa.

Bagi maklumat lanjut tentang ECX24 dan SAP24, sila layari www.sidec.com.my.

-- BERNAMA

Penafian: Ini adalah advertorial berbayar. BERNAMA tidak bertanggungjawab ke atas kandungan, ketepatan dan pendapat yang terdapat dalam artikel ini.

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan