EKONOMI > BERITA

MPOB Bangunkan Penyelesaian Teknologi Bantu Pekebun Kecil Penuhi Syarat EUDR

11/09/2024 07:11 PM

Daripada Siti Noor Afera Abu

ROTTERDAM, 11 Sept (Bernama) -- Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) giat membangunkan penyelesaian teknologi untuk membantu pekebun kecil memenuhi syarat tambahan Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR).

Ketua Pengarah MPOB Datuk Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata EUDR, yang berkuat kuasa pada Jun 2023, memperkenalkan syarat baharu untuk geolokasi dan kebolehkesanan. 

“Mengenai penebangan hutan, pekebun kecil perlu memenuhi piawaian berkaitan penebangan hutan. Bagaimanapun, antara cabaran terbesar terletak pada geolokasi, pemetaan dan data poligon serta kebolehkesanan,” katanya kepada pemberita Malaysia pada Persidangan Minyak Sayuran Lestari (SVOC) ke-3, anjuran Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC).

Ahmad Parveez berkata MPOB sedang menjalankan pemetaan kanopi untuk mendokumentasikan kawasan penanaman kelapa sawit dengan tepat.

“Kami sedang membuat persediaan untuk perubahan dengan menggunakan imej satelit untuk mengenal pasti semua ladang kelapa sawit. Kami dapat membezakan kelapa sawit daripada tanaman lain seperti kelapa, berdasarkan teknik penanaman.

“Dengan menganalisis jarak tanaman, kami juga dapat menganggarkan usia pokok,” katanya.

 

EUDR: Cabaran kepada Pekebun Kecil 

Walaupun menjadi langkah penting dalam mencegah aktiviti penebangan hutan, syarat ketat EUDR memberi cabaran kepada pekebun kecil, yang berpotensi menjejaskan pendapatan dan kedudukan mereka dalam rantaian bekalan berikutan sumber mereka yang terhad untuk pematuhan.

“Kami mahu meningkatkan pendapatan pekebun kecil dan membantu mereka menjadi pekebun yang lebih baik.

“Bagi mencapai matlamat ini, kami perlu melabur dalam rantaian bekalan supaya pekebun kecil dapat memenuhi syarat yang diperlukan untuk memasuki rantaian bekalan Kesatuan Eropah (EU),” kata Pengarah Kemampanan Muslim Mas Group Olivier Tichit pada perbincangan panel mengenai pelaksanaan EUDR yang berkesan dan keterangkuman pekebun kecil di SVOC pada Selasa.

Muslim Mas Group mengendalikan program pekebun kecil bebas dan terbesar di Indonesia, menyediakan para petani dengan pengetahuan dan sumber untuk meningkatkan produktiviti dan kemampanan.

Tichit menekankan bahawa walaupun proses itu melibatkan usaha yang besar, pengasingan rantaian bekalan mewujudkan beban yang tidak perlu.

“Ia melibatkan banyak kerja dan sejujurnya, tidak cekap. Kita perlu memberi tumpuan kepada isu yang lebih penting daripada mewujudkan rantaian bekalan dengan standard tertinggi hanya untuk EU,” katanya.

Sementara itu, Duta Besar Indonesia ke Jerman Arif Havas menjelaskan untuk pekebun kecil memenuhi semua syarat EUDR, termasuk pengetahuan mengenai perbincangan EU, sumber penting, terutamanya dari segi kewangan, adalah diperlukan, yang sukar dicapai oleh ramai pihak.

Beliau berkata EUDR ialah rangka kerja undang-undang yang memberi tumpuan hanya kepada dua faktor utama, kesahihan dan bebas aktiviti penebangan hutan, tanpa menyediakan kewajipan undang-undang kepada pengusaha untuk menyokong pekebun kecil.

“Dakwaan bahawa pekebun kecil dapat memenuhi syarat EUDR yang kompleks dan membebankan ini perlu dilihat dengan berhati-hati,” katanya.

 

Perkembangan Terkini Pelaksanaan EUDR

Kaunselor Pertama Alam Sekitar, Tindakan Iklim dan Kerjasama Digital bagi Perwakilan EU di Indonesia, Henriette Faergemann berkata berdasarkan EUDR semakin hampir kepada fasa pelaksanaannya, yang akan berkuat kuasa pada akhir tahun ini, Suruhanjaya EU amat menitikberatkan kepada pelaksanaannya.

“Kami sedang menambah baik pelbagai aspek berkaitan pelaksanaannya,” katanya.

Minggu depan, EU akan menerbitkan garis panduan versi baharu, termasuk 30 soalan lazim. Semua soalan itu dikumpulkan daripada interaksi dengan pelbagai negara pengeluar.

Faergemann berkata dokumen panduan yang komprehensif meliputi aspek utama operasi peraturan itu sedang disediakan dan akan dikeluarkan tidak lama lagi.

EU akan mengadakan sesi latihan mulai bulan ini, dengan sistem itu dibuka untuk pendaftaran pengguna pada awal November. Ini memberi masa yang mencukupi kepada pengeluar untuk bersedia sepenuhnya sebelum peraturan itu dikuatkuasakan secara rasmi pada akhir tahun ini.

Faergemann berkata bermula Disember, pengeluar akan dapat mengemukakan kenyataan usaha wajar, dan sistem itu sedang disesuaikan untuk dihubungkan dengan platform lain melalui antara muka pengaturcaraan aplikasi (API).

“Penanda aras akan membantu pihak berkuasa memberi tumpuan kepada penguatkuasaan dan memastikan sumber digunakan dalam aspek yang paling diperlukan,” katanya, merujuk kepada kepentingan kaedah itu dalam meningkatkan kecekapan kawal selia.

Faergemann berkata sejak 31 Dis 2020, semua produk yang memasuki pasaran Eropah perlu diperakui sebagai bebas daripada aktiviti penebangan hutan pada tarikh tertentu dan mematuhi undang-undang pengeluaran negara masing-masing.

Mana-mana produk boleh diterima masuk ke pasaran Eropah, dengan syarat produk itu sah, bebas daripada aktiviti penebangan hutan dan boleh dikesan, katanya.

“Tarikh itu dipilih dengan teliti kerana ia sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan 15.2, yang telah dipersetujui secara global untuk menghentikan aktiviti penebangan hutan pada tarikh itu,” katanya.

Faergemann berkata EU tidak mewajibkan alat geolokasi tertentu atau sistem kebolehkesanan untuk pematuhan dan pengeluar mempunyai kebebasan untuk memilih sebarang alat yang selesa untuk digunakan selagi mereka memenuhi keperluan usaha wajar yang diperlukan.

Beliau berkata keperluan kepada kebolehkesanan agregat untuk produk campuran atau komposit bertujuan memastikan setiap komponen yang menyumbang kepada konsainan dapat dijejaki.

“Langkah itu penting untuk produk yang mematuhi peraturan tidak dicampur dengan produk daripada sumber yang boleh dipersoalkan,” katanya.

Sehubungan itu, Faergemann menekankan kepentingan kerjasama antarabangsa, terutamanya dengan negara-negara pengeluar seperti Indonesia dan Malaysia.

“Kami telah mengadakan kerjasama teknikal dan menyeluruh dengan negara-negara ini. Kami amat gembira atas kemajuan yang dicapai,” katanya, merujuk kepada platform melibatkan pelbagai pihak berkepentingan bagi aktiviti penebangan hutan yang telah lama wujud sebagai sebahagian aspek penting dalam usaha itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan