EKONOMI > BERITA

Langkah Korporat, Daya Tarikan Utama Tingkatkan Minat Dalam Saham Hartanah Di Malaysia - Maybank IB

12/09/2024 02:56 PM

KUALA LUMPUR, 12 Sept (Bernama) -- Langkah korporat dan daya tarikan utama dijangka mengekalkan minat dalam saham hartanah Malaysia, kata Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB).

Antara daya tarikan utama ialah Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), pelaburan pusat data, dan kereta api berkelajuan tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura.

Bank pelaburan itu dalam nota penyelidikan hari ini berkata saham hartanah dengan rekod prestasi yang baik, asas yang kukuh dan perancangan atau langkah korporat yang boleh dilihat dalam jangka sederhana akan menjadi minat khusus.

Oleh itu, Maybank IB mengekalkan prospek positif terhadap sektor hartanah.

"Melangkah ke hadapan, banyak daya tarikan dalam sektor ini, justeru kami menasihatkan pelabur untuk mengalihkan tumpuan mereka kepada syarikat yang mempunyai asas kukuh, rekod pelaksanaan yang baik dan mereka yang mampu menjana nilai tanah atau sinergi melalui penjualan tanah atau langkah korporat," katanya.

Maybank IB juga mengesyorkan supaya pelabur menjadi selektif dengan JS-SEZ, menumpukan kepada syarikat yang mempunyai keupayaan melaksanakan projek dan asas kukuh yang boleh meningkatkan nilai pemegang saham dalam jangka sederhana.

"Lokasi JS-SEZ mungkin merangkumi kawasan yang lebih besar seperti dilaporkan dalam artikel akhbar sebelum ini, ia boleh menghasilkan kesan positif terhadap pemaju dan memberi kesamarataan semua pemilik tanah. Rekod prestasi kukuh dan pengurusan yang berkebolehan adalah penting untuk mengekalkan daya saing,” katanya.

Ia juga menyatakan butiran dasar JS-SEZ telah ditangguhkan ke November 2024 daripada tarikh asal pada September 2024.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan