EKONOMI > BERITA

Pemaju Optimis Prospek Sektor Hartanah Separuh Pertama 2025 - Rehda

12/09/2024 04:03 PM

PETALING JAYA, 12 Sept (Bernama) -- Pemaju hartanah yakin prospek sektor itu bagi separuh pertama 2025 lebih baik berbanding separuh kedua 2024, didorong oleh urus niaga dari tahun sebelumnya dan peningkatan kos bahan binaan.

Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda) Datuk Ir Ho Hon Sang berkata sentimen pasaran tahun ini dilihat agak lembap berikutan pemaju mengambil pendekatan berhati-hati, tunggu dan lihat untuk menilai keadaan industri pada 2025. 

"Pemaju masih berhati-hati dengan operasi perniagaan mereka, walaupun keadaan industri bertambah baik dari segi pelancaran dan jualan. Mereka ingin tahu apakah insentif atau dorongan daripada Belanjawan 2025 akan datang (yang akan dibentangkan pada 18 Okt) akan memacu pasaran hartanah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas taklimat media pada Tinjauan Industri Hartanah bagi separuh pertama 2024 dan Tinjauan Pasaran bagi separuh kedua 2024 dan separuh pertama 2025 hari ini.

Ho berkata kerajaan juga menggesa agar lebih banyak rumah mampu milik didirikan, sambil menambah bahawa Rehda telah mencadangkan pembentukan pasukan petugas yang terdiri daripada pihak berkuasa kerajaan dan Rehda untuk menilai permintaan sebenar untuk rumah mampu milik.

"Penilaian itu adalah bagi mengkaji permintaan sebenar untuk rumah mampu milik berdasarkan data dan statistik, dengan mengambil kira sasaran pembeli, lokaliti, jumlah unit dan masa," katanya.

Pada taklimat itu, Ho memaklumkan 162 ahli Rehda di Semenanjung yang terlibat dalam tinjauan itu melaporkan berlaku peningkatan kos perniagaan bagi seperuh pertama 2024 berbanding separuh kedua 2023.

Selain itu, sebanyak 69 peratus pemaju menghadapi cabaran pembinaan disebabkan oleh harga bahan yang tinggi, kekurangan dan bekalan bahan binaan yang tidak konsisten, kenaikan gaji dan kekurangan pekerja mahir.

Bahan binaan seperti pasir, kaca dan konkrit mengalami kenaikan harga tahunan sebanyak 13 hingga 15 peratus pada 31 Jun 2024.

"Bagi mengatasi isu ini, pemaju tidak mempunyai pilihan selain terpaksa mengurangkan margin keuntungan mereka, meningkatkan harga jualan hartanah, dan menggunakan bahan binaan yang menjimatkan kos dengan berhemah dan berhati-hati," katanya.

Pada separuh pertama 2024, 84 peratus responden melaporkan mereka terjejas akibat keadaan ekonomi, mendorong mereka untuk melaksanakan langkah penjimatan kos, termasuk membekukan pengambilan pekerja, mengurangkan faedah pekerja dan menangguhkan atau mengurangkan pelancaran projek.

 Bagaimanapun, Ho berkata 44 peratus responden merancang untuk melancarkan projek pada separuh kedua 2024, memfokuskan terutamanya pada hartanah bertanah, yang terus menyaksikan permintaan lebih tinggi daripada pembangunan bertingkat tinggi.

Beliau berkata pemaju turut menawarkan bantuan dengan bayaran pendahuluan (meliputi 10 peratus pertama), meningkatkan penggunaan pemasaran digital dan teknologi maya mereka, dan memberikan diskaun kepada pembeli, dengan purata lapan peratus bagi meningkatkan jualan.

Tinjauan itu melaporkan bahawa 11,814 unit telah dilancarkan pada separuh pertama 2024, peningkatan sebanyak tujuh peratus daripada 11,032 unit yang dilancarkan pada separuh kedua 2023.

Pertumbuhan jualan juga sederhana, dengan 13,445 unit dijual (separuh kedua 2023: 12,017 unit), 65 peratus (8,699 unit) adalah daripada stok yang tidak terjual sebelum ini, dengan baki daripada pelancaran baharu pada separuh pertama 2024.

Jenis hartanah yang paling dicari ialah kediaman berperkhidmatan dan rumah teres dua hingga tiga tingkat, menurut tinjauan itu.

“Dari segi julat harga, 46 peratus responden melaporkan unit siap mereka yang belum terjual berharga RM500,000 ke bawah.

"Menurut responden keadaan ini berlaku akibat penolakan pinjaman pada akhir proses pembiayaan, permintaan dan faedah yang rendah, dan lot Bumiputera. Selain itu, 33 peratus lot Bumiputera siap yang tidak terjual telah berada di pasaran selama lebih 36 bulan, dan saya percaya isu ini perlu ditangani oleh industri," kata Ho.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan