EKONOMI > BERITA

QNET Tambah Baik Produk Guna Teknologi Terkini

14/09/2024 05:31 PM

GEORGE TOWN, 14 Sept (Bernama) -- QNET, rangkaian jualan langsung utama global yang memfokuskan pada gaya hidup dan kesejahteraan melakukan beberapa penambahbaikan dalam produk kesihatannya dengan menggunakan teknologi terkini.

Antara produk di bawah rangkaian kesihatan syarikat itu ialah EDG3 Plus, Amezcua Bio Disc 3, Amezcua Chi Pendant 4 dan Amezcua E-Guard X manakala produk gaya hidup termasuk Home Pure Nova dan Home Pure Zayn.

Ketua Operasi Serantau QNET, Pushpalatha Balan berkata walaupun kebanyakan produk berkenaan telah berada di pasaran sejak 2016, namun ia sentiasa mendapat permintaan yang tinggi dalam kalangan pengguna di beberapa buah negara termasuk Malaysia.

"Kami yakin dengan pengenalan produk yang telah dipertingkatkan itu akan dapat meningkatkan lagi jualan dan pasaran di negara ini.

“Bagi produk makanan tambahan EDG3 Plus, walaupun dikeluarkan pada 2022,  kini ia telah ditambah baik dengan nutrien tambahan dan menjadi salah satu produk kami yang paling popular," katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Beliau ditemui pada Konvensyen V-Malaysia QNET 2024, acara antarangsa lima hari yang bermula Khamis lalu yang menghimpunkan kira-kira 8,000 peserta dari 30 negara.  

Pushpalatha berkata EDG3 Plus adalah produk pemakanan yang dihasilkan untuk menyokong kesihatan dan kesejahteraan secara keseluruhan yang diperkaya dengan vitamin dan mineral penting.

"Ia menampilkan formula berkhasiat dengan kunyit berkualiti tinggi dan ditingkatkan dengan nutrien tambahan bagi memastikan pengguna yang mengamalkannya kekal bertenaga sepanjang hari.

"Selain itu ia dapat menyokong tahap tenaga dan meningkatkan fungsi imun kerana mengandungi Tumacin, Vitamin D dan asid amino Glutathione. Tumacin dihasilkan daripada kunyit, yang digunakan dalam kedua-dua perubatan Ayurveda dan Perubatan Tradisional Cina untuk masalah kulit, pernafasan, melegakan sakit sendi dan masalah pencernaan," katanya.

Sementara itu, beliau berkata selain produk kesihatan, QNET juga menjual produk sistem penapisan air premium, HomePure Nova, yang popular di negara ini serta di peringkat global.

"HomePure Nova adalah sistem penapisan air premium yang memastikan air minuman selamat untuk keluarga di Malaysia.

"Sistem penapisan air ini mempunyai proses penapisan sembilan peringkat yang menyingkirkan bahan pencemar seperti bakteria, virus, logam berat, dan klorin dan produk ini juga mudah dipasang serta diselenggara menjadikannya sesuai untuk mana-mana isi rumah," katanya.

Mengenai Amezcua, Pushpalatha berkata ia adalah rangkaian produk kesejahteraan disokong oleh sains yang berfungsi pada medan tenaga (biofield) manusia, juga dikenali sebagai chakra, yang merupakan pemusatan tenaga berkaitan dengan organ, saraf dan meridian, iaitu garis tenaga yang merentasi seluruh tubuh.

Beliau berkata Amezcua E-Guard X adalah peranti yang direka untuk mengurangkan kesan berbahaya radiasi elektromagnetik, manakala Bio Disc 3 mencipta getaran halus untuk penstrukturan semula air dengan memanfaatkan kuasa tenaga kuantum.

Selain itu, Amezcua Chi Pendant 4 direka untuk meningkatkan tahap tenaga dan kesejahteraan secara keseluruhan.

Menurutnya, semua produk Amezcua, termasuk E-Guard X, Bio Disc 3 dan Chi Pendant 4 adalah unik kerana menggabungkan teknologi resonans Amezcua.

QNET yang berpangkalan di Hong Kong adalah antara syarikat jualan langsung berasaskan e-dagang terkemuka di Asia, menawarkan pelbagai produk kesihatan, kesejahteraan dan gaya hidup yang memperkasakan usahawan di lebih 100 negara di seluruh dunia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan