EKONOMI > BERITA

Bekas Jurutera Manfaatkan Teknologi Ceburi Bidang Pertanian

16/09/2024 10:36 AM

Oleh Zarul Effendi Razali

KUALA LUMPUR, 16 Sept (Bernama) -- Didorong minat untuk mengkaji lebih mendalam sistem internet pelbagai benda (IoT) dalam bidang pertanian Abdul Mu'iz Hanafiah, 30, tekad untuk mengubah haluan kerjayanya daripada bidang kejuruteraan kepada pertanian kira-kira dua tahun lalu.

Menurut anak jati Mersing, Johor ini, beliau memilih pisang sebagai tanaman utamanya memandangkan permintaan pasaran domestik yang tinggi di samping harga yang lebih stabil berbanding tanaman yang lain.

 

Daripada seorang jurutera kepada usahawan tani

Sebelum menjadi usahawan tani, Abdul Mu’iz yang merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer Pengkhususan Rangkaian Komputer dari Universiti Putra Malaysia bekerja sebagai jurutera sistem di sebuah syarikat di cyberjaya seusai tamat pengajiannya.

“Dari dulu lagi sebelum memasuki bidang pertanian, saya tertarik dengan isu-isu global terutamanya isu makanan. Dari situ, saya telah membuat kajian jenis-jenis tanaman yang selalu dimakan oleh orang ramai dan mempunyai harga yang stabil iaitu pisang,” katanya kepada Bernama.

Menurutnya, sektor pertanian pada hari ini telah mengalami perkembangan teknologi yang pesat, terutamanya sistem mekanisasi yang membantu petani melaksanakan pekerjaan mereka tanpa tenaga manusia yang ramai.

Selain itu, semangat “ingin berbakti kepada tanah” dan mahu memanfaatkan ruang kerjaya yang semakin didominasi oleh warga asing ini turut mendorong usahawan muda ini terus nekad mengubah haluan kerjayanya.

“Kita harus bangun dan mula merebut peluang yang sudah lama tersedia di hadapan kita. Saat kita terus leka, mereka (warga asing) terus-menerus meluaskan “jajahan” dalam bidang pertanian ini yang dahulunya dipelopori oleh warga tempatan.

“Ini juga adalah salah satu bentuk penjajahan (bagi saya). Dahulu (sebelum merdeka) kita dijajah menggunakan senjata dan kekerasan. Sekarang, kita sedang dijajah disebabkan oleh kelekaan dan sikap malas kita sendiri,” katanya.  

 

Semangat dan ilmu dalam bidang pertanian

Berkongsi pengalaman selepas dua tahun menceburi bidang pertanian, Abdul Mu’iz berkata bidang ini memerlukan semangat yang tinggi.

“Kita tidak perlu dengar apa yang orang kata, kita hanya perlu kata-kata semangat dan dorongan dari ahli keluarga sahaja, cukup untuk kita kekal semangat dan teruskan perusahaan.

“Jika sudah tiada usahawan muda yang ingin teruskan legasi orang-orang lama, banyak warga asing yang akan ambil peluang,” katanya.  

Dalam memastikan minat dan cita-citanya dapat direalisasikan sebaik mungkin dan tidak kecundang di tengah jalan, Abdul Mu’iz gigih mempelajari pelbagai ilmu pertanian dan keusahawanan daripada jabatan dan persatuan berdaftar.

Selain kursus asas tanaman pisang dan nanas, Abdul Mu’iz turut mengikuti Program Memacu Kehidupan Memampankan Ekonomi Asas Rakyat (MEKAR) anjuran Yayasan Petronas bagi memantapkan lagi ilmu keusahawanannya.

“Program ini bukan sahaja memberikan latihan keusahawanan malah memantau peserta dalam tempoh tertentu dan memberi khidmat nasihat sehingga peserta berjaya dalam perniagaan mereka.

“Selain itu ia juga memberikan latihan kunci kira-kira yang betul dalam memantapkan akaun perniagaan, memberikan latihan cara memperoleh geran yang disediakan oleh kerajaan dan pinjaman dari bank tertentu,” katanya. 

Menurutnya, program MEKAR ini menyediakan kursus dan kertas kerja yang dapat mengukuhkan permohonan geran dan dengan bantuan tersebut, beliau telah berjaya mendapatkan RM20,000 untuk geran dron.

 

Cabaran bergelar usahawan tani

Abdul Mu’iz berkata sepanjang mengusahakan tanaman pisangnya ini beliau berdepan dengan pelbagai cabaran dan rintangan antaranya termasuklah penyakit serta serangan haiwan perosak seperti monyet dan gajah.

“Penyakit pokok pisang juga menjadi cabaran yang perlu dihadapi. Kos barang input pertanian yang tinggi seperti baja salah satu faktor diambil kira sebagai rintangan mengusahakan tanaman,” katanya.

Bagaimanapun, berpegang kepada pepatah “di mana ada kemahuan, di situ ada jalan”, kesemua cabaran tersebut berjaya di harungi dan di atasi oleh anak muda ini yang merupakan anak ketiga dari empat orang adik beradik.

“Haiwan perosak seperti monyet dan gajah diatasi dengan bela anjing, sediakan pagar elektrik dan parit gajah. Penyakit pokok pisang dapat dikawal dengan ubat semburan di daun pokok pisang.

“Kos barang input pula dapat diatasi dengan geran yang diberi oleh jabatan pertanian. Sedikit sebanyak dapat meringankan kos pembelian baja untuk pokok,” katanya.

 

 

Aplikasi teknologi dalam pertanian

Sementara itu mengenai aplikasi teknologi dalam bidang pertanian Abdul Mu’iz berkata beliau tertarik dengan penggunaan dron dalam mengusahakan tanamannya.

“Saya melihat dron banyak digunakan di Kedah, terutamanya untuk padi. Kemudian, saya perhatikan ada tempat yang menggunakan dron untuk tanaman pisang.

“Saya juga dapati kos pekerja untuk pembajaan adalah mahal. Jadi menggunakan dron lebih murah, dan saya boleh kendalikan sendiri untuk menguruskan tanaman pisang,” katanya.

 Beliau mula menggunakan dron untuk kebun pisangnya setelah melihat keberkesanannya dalam pengurusan tanaman padi di Kedah.

"Penggunaan dron telah membantu mengurangkan kos buruh untuk pembajaan serta membolehkan saya menguruskan kebun secara sendiri dengan lebih efisien.

Menurut beliau, kos penggunaan dron dan aksesori yang diperlukan ditampung menerusi geran yang diterimanya yang turut menyokong kos penyelenggaraan dan pembaikan peralatan.

Berlandaskan semangat, usaha dan ilmu yang dipelajarinya, Abdul Mu’iz bukan sahaja mampu bertahan dalam bidang keusahawanan pertanian malah berjaya meningkatkan pendapatannya hampir empat kali ganda kepada kira-kira RM4,679 sebulan daripada RM1,500 sebulan sebelum ini.

Dengan berbekalkan modal permulaan sebanyak RM40,000, Abdul Mu’iz berkata kebunnya kini mengusahakan beberapa jenis variasi pisang seperti Pisang Tanduk, Boyan, Nangka, Berangan dan Nipah, di samping tanaman nanas MD2 yang baru diusahakan.

 

Tumpu pasaran domestik

Berikutan permintaan domestik yang tinggi, Abdul Mu’iz berkata beliau masih belum memikirkan pasaran eksport setakat ini.

Beliau turut menyeru belia supaya menceburi bidang keusahawanan terutamanya bidang pertanian yang masih mempunyai potensi dan peluang pasaran yang luas.

“Bidang keusahawan banyak cabaran yang perlu dilalui, banyakkan mencari ilmu yang berkaitan, sentiasa buat survey (kaji selidik) di kawasan setempat produk yang kurang dan yang banyak dapat perhatian. Mantapkan ilmu perakaunan supaya lebih mudah memantau untung rugi perniagaan.

“Program seperti MEKAR sangat disyorkan kepada pemula perniagaan atau yang sudah lama dalam perniagaan. Program ini banyak memberikan prosedur cara memulakan perniagaan dengan betul. Program ini juga dapat melahirkan usahawan yang lebih kreatif dan celik IT,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan