EKONOMI > BERITA

Pemetaan Pekebun Kecil Sawit Di Seluruh Negara Capai 70 Peratus - MPOB

16/09/2024 10:23 AM

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 16 Sept (Bernama) -- Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) berjaya memetakan sekitar 70 peratus pekebun kecil bebas sebagai sebahagian daripada projeknya untuk mencartakan kawasan ladang kelapa sawit di seluruh negara.

Ketua Pengarah MPOB Datuk Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata data itu boleh diakses melalui Portal GeoPALM MPOB, merangkumi 85 peratus pekebun kecil terancang dan 88 peratus ladang sawit di Semenanjung Malaysia.

Dengan memanfaatkan teknologi penderiaan jauh dan sistem maklumat geografi (GIS), beliau berkata MPOB mampu memantau ladang di seluruh negara dan seterusnya memberikan maklumat berharga untuk industri.

"Projek pemetaan, yang dilakukan dengan kerjasama Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), meliputi kebanyakan kawasan, dengan kemas kini di Sabah dijangka siap pada akhir tahun," katanya kepada Bernama.

Selaras dengan Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR), Ahmad Parveez berkata MPOB telah membangunkan data geolokasi dan poligon untuk penanam sawit berlesen, yang merupakan keperluan utama untuk mengakses pasaran EU.

"Usaha ini melibatkan kerjasama rapat dengan agensi-agensi data geospatial seperti Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), Jabatan Tanah dan Ukur Sabah (JTU), dan Jabatan Tanah dan Survei Sarawak (LANDAS) untuk memastikan ketepatan dan kebolehpercayaan data geolokasi dan peta poligon yang dihasilkan untuk ladang," jelas beliau.

Portal GeoPALM MPOB telah dipamerkan di beberapa forum antarabangsa, termasuk Meja Bulat untuk Kemasukan Pekebun Kecil bagi Keperluan EUDR dan Perbincangan Kumpulan Fokus Pertama mengenai Pematuhan EUDR.

Ahmad Parveez turut menekankan bahawa usaha sedang dipergiatkan dengan kerjasama kerajaan negeri Sabah dan Sarawak untuk memastikan semua penanam sawit di negeri tersebut memenuhi piawaian ketat EUDR.

Mengenia inisiatif pemetaan geo, beliau berkata pihak-pihak berkepentingan dan pekebun kecil telah bertindak balas secara positif terhadap usaha berkenaan sambil berkata, ''MPOB sangat menghargai minat dan sokongan berterusan daripada semua pihak berkepentingan dan berharap dapat memberikan kemas kini lanjut apabila ia tersedia".

MPOB merupakan ketua projek untuk memetakan liputan ladang sawit selaras dengan Dasar Agrikomoditi Negara (DAKN 2030).

Objektif utama pemetaan tersebut ialah untuk mengehadkan kawasan tanaman sawit negara kepada 6.5 juta hektar, melarang penanaman baharu, mengetatkan peraturan ke atas ladang sawit sedia ada di tanah gambut, menyekat penukaran hutan simpan kekal (HSK) untuk aktiviti pertanian dan menjadikan peta ladang yang rasmi boleh diakses secara terbuka.

Ahmad Parveez berkata Indonesia sedang bersiap sedia untuk pematuhan EUDR dengan membangunkan Papan Pemuka Kebangsaan untuk Data Komoditi Mampan.

Inisiatif itu bertujuan untuk meningkatkan kebolehkesanan komoditi utama seperti minyak sawit, agar sejajar dengan piawaian EUDR.

Beliau menekankan usaha kerjasama antara Indonesia dan Malaysia melalui Pasukan Petugas Bersama, menggariskan pendekatan serantau yang bersatu bagi menangani cabaran yang ditimbulkan oleh EUDR dengan berkesan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan