EKONOMI > BERITA

Pegawai Kawalan Trafik Udara, Wira Keselamatan Industri Penerbangan

16/09/2024 05:44 PM

Oleh Kisho Kumari Sucedaram

KUALA LUMPUR, 16 Sept (Bernama) -- Di sebalik kelibat pesawat yang melintasi ruang angkasa, tidak ramai yang menyedari jasa wira tak didendang - pegawai trafik kawalan udara (PTKU) yang bertugas melakukan pemantauan di menara kawalan.

Walaupun beraksi di balik tabir dan ghaib daripada pandangan jutaan penumpang udara setiap hari, PKTU perlu mengekalkan tahap keselamatan tertinggi dalam membantu juruterbang mengemudi penerbangan dari dan ke destinasi ditetapkan.

Tugasan memberi panduan kepada juruterbang untuk menerbangkan dan mendaratkan pesawat bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini, menuntut barisan petugas yang penuh berdedikasi dalam kerjaya itu.

Rentetan pelbagai insiden, termasuk keperluan pesawat dilencongkan, diarah semula serta terpaksa berpatah balik susulan isu teknikal, tidak hanya memerlukan ketajaman minda dan kecekapan juruterbang untuk bertindak pantas mengendalikan sebarang senario kecemasan demi mengelak bencana, malah turut menuntut kecekapan serta ketangkasan di pihak PKTU.

Lebih tepat lagi, mereka juga berperanan sebagai nadi pasukan yang bertanggungjawab mengendalikan keselamatan penerbangan. 

Buktinya, bagi tempoh sepanjang Julai lepas, PKTU di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mengendalikan hampir 38,000 pesawat yang berlepas serta mendarat.

Barisan PKTU ini sentiasa di hadapan memastikan keselamatan ribuan pesawat melintasi ruang udara yang sibuk, membawa penumpang serta kargo yang menjadi penggerak ekonomi selain kesalinghubungan pelbagai negara.

Dalam mempertahankan keselamatan perjalanan udara, PKTU lebih menonjol sebagai ‘penjaga’ secara literalnya untuk setiap penerbangan, bertanggungjawab memastikan setiap pesawat dapat dikemudi dengan selamat melalui rangkaian ruang dan trafik udara selain berlepas dan mendarat mengikut batasan waktu.

Kepentingan peranan itu turut diakui oleh Pengarah Bahagian Operasi Perkhidmatan Navigasi Udara Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) Khairul A'Amali Ismail yang berkongsi kepada Bernama mengenai tugas berat PKTU.

Ini boleh dilihat menerusi tindakan pihak berkuasa itu menguruskan sebanyak 29 menara kawalan trafik udara di Malaysia.

Dari segi perjawatan pula, beliau berkata daripada kira-kira 1,000 jawatan yang ditawarkan, hanya 87 peratus telah diisi setakat ini.

Salah satu fakta menarik namun bukti komitmen tugasan PKTU adalah setiap daripada mereka perlu berehat setiap dua jam bagi mengelak kelesuan dan tidak hilang fokus dalam pekerjaan yang memerlukan dedikasi tinggi.

 

Keperluan PKTU meningkat, CAAM akan perbesar pasukan

 

Pertumbuhan kukuh bagi perjalanan udara juga menuntut kehadiran lebih banyak pesawat dan pertambahan laluan, sekali gus memerlukan lebih ramai PKTU.

Sebagaimana dinyatakan oleh Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), pertumbuhan syarikat penerbangan Asia Pasifik kekal kukuh dengan peningkatan permintaan sebanyak 19.1 peratus tahun ke tahun pada Julai 2024 yang memerlukan lebih banyak penerbangan dan pesawat. 

Mengikut Unjuran Trafik Lapangan Terbang Dunia (WATF) Majlis Lapangan Terbang Antarabangsa (ACI) 2023–2052, rantau ini menunjukkan pemulihan penumpang terbesar pada 2023 dan dijangka mencecah hampir 3.9 bilion penumpang menjelang akhir 2025.

Di Malaysia, Khairul A'Amali berkata peningkatan jumlah penerbangan dan laluan di lapangan terbang utama turut mencerminkan trend yang terus ketara.

Menyedari keperluan itu, CAAM sedang berusaha untuk mengembangkan pasukan berkenaan, menambah baik sistem trafik udara dan mengguna pakai teknologi baharu bagi pengurusan bilangan penerbangan yang ketara tinggi demi menjamin kecekapan serta keselamatan.

Pada masa sama, inisiatif berkenaan dapat membantu mengurangkan pengembangan laluan berterusan oleh syarikat penerbangan tempatan selain menyokong syarikat penerbangan dan mengekalkan kecekapan industri penerbangan Malaysia.

“Sebagai negara anggota Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), CAAM turut memperjuang kesaksamaan jantina yang menyaksikan golongan wanita membentuk 35 peratus daripada PKTU,” katanya.

 

Menangani cabaran situasi krisis

 

Khairul A’Amali berkata PKTU juga berperanan penting menangani cabaran krisis global atau isu geopolitik yang menjejaskan ruang udara, termasuk krisis Timur Tengah yang menyebabkan penutupan ruang udara Iran.

“Lazimnya, pihak ICAO mempunyai unit khas bagi mengendalikan zon larangan atau zon larangan terbang yang dipaparkan di laman sesawang sebagai peringatan untuk syarikat penerbangan.

“Syarikat ini boleh mengelak ruang udara berkenaan, tetapi jika sebaliknya, ini terpulang kepada mereka kerana ICAO hanya berperanan sebagai badan teknikal yang memberi nasihat dan tidak boleh mengambil tindakan seperti Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu," katanya.

 

Salah satu pekerjaan paling tertekan di dunia 

 

Sebagai PKTU, seseorang pegawai perlu memastikan pesawat mengikuti laluan penerbangannya untuk mengelakkan perlanggaran dan menguruskan aliran trafik udara, di ruang udara dan juga di kawasan manuver. Jelas sekali, ini bukan kerja yang mudah dan merupakan antara pekerjaan yang paling tertekan di dunia.

Ketua Penolong Pengarah CAAM Al Faruqi Nasseri berkata di Malaysia, PKTU ditempatkan sama ada di pusat kawalan atau di menara kawalan di lapangan terbang.

“Terdapat tiga pusat kawalan di Malaysia iaitu Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur, Pusat Kawalan Trafik Udara Kota Kinabalu dan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuching,” katanya.

PKTU menyediakan tiga perkhidmatan kawalan trafik udara berbeza.

Pertama, pengawal ‘aerodrome’ yang mengawasi pendaratan pesawat, pesawat berlepas dan menguruskan pergerakan pesawat di sekitar kawasan lapangan terbang.

Kemudiannya, pengawal ‘approach’ yang bertanggungjawab untuk menentukan bila dan di mana setiap kapal terbang harus mendarat dan akhir sekali pengawal ‘area’ yang menjejaki kedudukan tepat setiap pesawat dan memastikan trafik berada dalam jarak selamat di udara.

PKTU memberi arahan kepada juruterbang untuk berlepas, mendarat dan semasa penerbangan dalam perjalanan semasa mereka melintasi ruang udara.

Selain berurusan dengan pengawal tempatan lain, PKTU juga bekerjasama dengan pengawal di wilayah maklumat penerbangan (FIR) bersebelahan atau negara lain bagi membantu pesawat bertukar antara kawasan ruang udara yang berbeza.

"Jadi, apabila pesawat menghampiri FIR lain, kami perlu memaklumkan kepada jiran kita bahawa pesawat ini akan datang, jenis pesawat, masa ia akan melintas dan semua maklumat yang diperlukan untuk penerbangan yang selamat.

"Kami juga menyesuaikan perancangan mereka berdasarkan perubahan cuaca," kata Al Faruqi.

Beliau berkata pada asasnya, PKTU di Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur menguruskan anggaran 10 hingga 12 pesawat pada satu-satu masa.

Menurutnya, memandangkan tugas dan tanggungjawab yang amat kritikal ini, petugas tidak boleh membuat sebarang kesilapan dan jika ada juruterbang yang tidak mengikut arahan ia perlu diambil serius, disiasat dengan teliti dan ditangani dengan langkah yang betul untuk mengekalkan keselamatan dan pematuhan.

CAAM mengendalikan sehingga 1,200 pendaratan dan pelepasan pesawat dalam sehari di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Pada Julai 2024 sahaja, sebanyak 37,698 pergerakan pesawat direkodkan di lapangan terbang itu.

 

Kelayakan untuk menjadi PKTU

 

Untuk layak menjadi PKTU, calon perlu memiliki ijazah sarjana muda atau yang setaraf dengannya yang diiktiraf oleh kerajaan, lulus beberapa siri ujian yang ketat termasuk penilaian psikologi, serta memenuhi syarat-syarat berkaitan perubatan serta fasih berbahasa Inggeris.

“Apabila terpilih, mereka akan menjalani latihan intensif, termasuk pelajaran teori dan simulasi praktikal,” kata Al Faruqi.

Selain itu, katanya, untuk memastikan piawaian dan prosedur terkini dipatuhi mereka juga mengadakan peperiksaan tahunan untuk memastikan kemahiran dikemas kini.

Seperti yang ditegaskan CAAM, PKTU bertanggungjawab bagi memastikan aliran trafik udara yang selamat, teratur dan pantas serta memindahkan penumpang ke dan dari destinasi mereka.

Jadi, tugas PKTU sememangnya amat mencabar memandangkan bilangan penerbangan antara 8,000 dan 20,000 pesawat yang melintasi ruang angkasa pada bila-bila masa.

Meskipun di mata juruterbang PKTU adalah wira mereka yang sentiasa komited memastikan penerbangan mereka selamat di udara dan juga di darat, namun tidak dinafikan PKTU juga adalah wira kepada semua orang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan