EKONOMI > BERITA

SFZ Forest City Bakal Perkenal Pelbagai Insentif Dan Pakej Untuk Rancak Pelaburan - Exco

16/09/2024 02:11 PM

JOHOR BAHRU, 16 Sept (Bernama) -- Zon Kewangan Khas (SFZ) di Forest City yang akan dilancarkan pada Jumaat ini bakal memperkenalkan pelbagai insentif dan pakej untuk merancakkan lagi pelaburan, pertumbuhan dan aktiviti ekonomi di negeri ini. 

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor Lee Ting Ha berkata majlis pelancaran tersebut dijangka turut dihadiri Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan

“SFZ di Forest City akan dilancarkan Jumaat ini dan Menteri Kewangan II sudah menyatakan kesudian untuk datang dan akan memberi penjelasan berkaitan SFZ.

“Selain itu, pakej dan insentif juga akan diperkenalkan yang akan ditawarkan kepada syarikat kewangan insurans dan lain-lain,” katanya pada sidang media selepas merasmikan program Sunbeam Splash 2.0 di Austin International Convention Centre, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pelancaran SFZ di Forest City.

Pada 25 Ogos, 2023, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pembentukan SFZ di Forest City serta beberapa insentif untuk merancakkan aktiviti ekonomi di Johor dan kawasan sekitarnya.

Sementara itu Lee berkata petrokimia dan kimia, elektrik dan elektronik (E&E) dan bahan bukan logam merupakan antara sektor utama menyumbang kepada eksport negeri yang berjumlah RM5.2 bilion setakat Julai lepas. 

“Sektor petrokimia dan kimia menjadi antara penyumbang kerana kita mempunyai kawasan industri seperti di Pengerang, Pasir Gudang dan juga Tanjung langsat.

“Manakala, sektor E&E antaranya melibatkan semikonduktor serta bahan bukan logam yang turut menyumbang kepada bahan asas pembuatan kepada sektor lain,” katanya.

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin sebelum ini dipetik sebagai berkata Johor, Selangor dan Pulau Pinang mendominasi eksport negara serta menyumbang 70.6 peratus daripada jumlah keseluruhan pada Julai 2024.

Beliau berkata prestasi eksport bernilai RM131.1 bilion pada Julai 2024, meningkat sebanyak RM14.4 bilion atau 12.3 peratus berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

Peningkatan itu dipengaruhi oleh eksport yang tinggi di kebanyakan negeri didahului Johor (+RM5.2 bilion), Selangor (+RM2.3 bilion), Pulau Pinang (+ RM1.9 bilion), Sarawak (+RM1.8 bilion) dan Kuala Lumpur (+RM1.3 bilion).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan