EKONOMI > BERITA

Gamuda Cadang Terbitan Bonus Selepas Raih Hasil RM15 Bilion Dalam Tahun Kewangan 2024

26/09/2024 09:08 PM

KUALA LUMPUR, 26 Sept (Bernama) -- Gamuda Bhd mencadangkan terbitan bonus sebagai ganjaran kepada pemegang sahamnya berikutan prestasi kukuh syarikat itu pada tahun kewangan berakhir 31 Julai 2024, dengan hasil tahunan meningkat 63 peratus kepada RM15 bilion.

Syarikat itu  dalam satu kenyataan hari ini berkata perolehan daripada projek pembinaan luar negaranya meningkat tiga kali ganda, mencecah RM9 bilion daripada RM3.5 bilion, dengan pertumbuhan disokong oleh nilai perolehan kontran pembinaan bernilai RM25 bilion.

“Tidak termasuk operasi lebuh raya yang dihentikan, keuntungan bersih teras kumpulan meningkat 12 peratus kepada RM912 juta berbanding RM815 juta tahun lepas, disumbang terutamanya daripada pendapatan pembinaan luar negara yang lebih tinggi dan pendapatan dan margin hartanah domestik yang lebih kukuh,” katanya.

Susulan prestasi amat memberangsangkan ini, syarikat itu mencadangkan terbitan bonus saham biasa baharu dengan nisbah satu saham bonus bagi setiap saham biasa sedia ada yang dipegang.

Tarikh kelayakan menerima akan diumumkan kemudian. 

Bagi suku keempat, Gamuda mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 39 peratus mencecah RM4.8 bilion berbanding RM3.4 bilion pada suku yang sama tahun sebelumnya.

"Keuntungan bersih suku tahunan meningkat lapan peratus kepada RM272 juta berbanding RM252 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya," kata syarikat itu.

Gamuda menjangkakan prestasi tahun depan kumpulan akan didorong oleh aktiviti pembinaan di luar negara dan domestik, termasuk pembinaan beberapa pusat data dan sumbangan tinggi daripada pelbagai projek pemulihan pantas bahagian hartanah.

"Bagi jualan hartanah kami yang belum dibilkan, ia berjumlah RM7.7 bilion," katanya.

Menurut Gamuda,  lembaran imbangannya terus kekal kukuh dengan tahap kadar hutang selesa pada 39 peratus, jauh di bawah had yang ditetapkan sendiri sebanyak 70 peratus.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan