EKONOMI > BERITA

MGA Gesa Sektor Tenaga Terima Agenda D&I Untuk Tenaga Kerja Masa Depan

27/09/2024 07:13 PM

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 27 Sept (Bernama) -- Persatuan Gas Malaysia (MGA) telah menyeru sektor tenaga untuk menerima agenda kepelbagaian dan keterangkuman (D&I) dalam tenaga kerja mereka.

Ahli Majlis MGA Ramanrao Abdullah bercakap kepada Bernama, antara inisiatif D&I yang boleh dilaksanakan dalam industri adalah seperti menyediakan cuti paterniti yang lebih lama bagi memastikan penyertaan wanita yang mampan dalam kumpulan pekerja.

“Jika kita mahu mewujudkan kesaksamaan, berikan cuti bersalin dan paterniti. Bila ibu balik kerja, ayah boleh ambil alih," katanya.

“Kita belum lagi cuba tetapi mengapa tidak? Cuti bersalin tiga bulan sekarang, dan mungkin (diikuti) sebulan untuk bapa selepas itu,” katanya kepada Bernama. 

Ramanrao, yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Deleum Bhd berkata demikian semasa bengkel Wanita Malaysia Dalam Tenaga (MyWiE) “Fuelling Women in Energy” yang diadakan semalam.

Acara itu disokong oleh Komuniti MyWiE termasuk Rangkaian Kepimpinan Wanita Petronas (PLWN), Rangkaian Wanita Bertindak Shell (SWAN) dan Women in Energy, Gas&Oil  (WeGo), wakil daripada peralatan dan perkhidmatan minyak dan gas (OGSE).

Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi Datuk Dr Yatimah Sarjiman turut hadir pada majlis itu.

Mengikut undang-undang buruh Malaysia, seorang kakitangan lelaki layak mendapat cuti bergaji tujuh hari jika dia berkahwin secara sah dengan ibu bayi yang baru lahir dan bekerja. dengan majikan yang sama sekurang-kurangnya untuk 12 bulan.

Ramanrao menjelaskan usaha membesarkan keluarga bukan sahaja menjadi tanggungjawab wanita semata-mata.  

“Saya rasa kita berada pada titik yang mana ia bukan pilihan sama ada kita menyokong atau tidak. Kita percaya bahawa ini adalah cara untuk memastikan kita mendapat tenaga kerja yang terbaik ke dalam industri dan masyarakat yang lebih luas. Kita cuma membantu lelaki mengambil tanggungjawab yang sama dalam membesarkan keluarga.

"Mungkin dalam belanjawan nanti, kerajaan boleh melancarkan insentif agar syarikat memberi cuti paterniti," katanya. 

Industri minyak dan gas sekarang ini mempunyai lebih ramai kakitangan wanita berbanding sedekad lalu, kerana minda telah beralih ke arah memperkasakan wanita bagi mengambil bahagian serta berkembang dalam industri minyak dan gas yang didominasi lelaki sebelum ini. 

“Saya memulakan kerjaya saya dalam industri minyak dan gas kira-kira 30 tahun lalu, dan itulah yang berlaku. Kini, kita melihat semakin ramai wanita. Malah dalam syarikat saya, bahagian pengurusan saya diwakili hampir 40 peratus wanita,” katanya lagi.

Sehingga 2023, lima daripada 26 syarikat (OGSE) tersenarai awam di Malaysia, disenaraikan antara 150 teratas mengikut hasil, telah menempatkan sekurang-kurangnya 30 peratus perwakilan wanita dalam lembaga pengarah mereka. 

Di peringkat pengurusan kanan, sembilan daripada 26 syarikat OGSE tersenarai awam telah mencapai sekurang-kurangnya 30 peratus wanita.

“Apabila seorang wanita duduk di sebelah lelaki, mereka berada di sana kerana mereka layak memperolehnya, bukan disebabkan kehendak kepelbagaian. Mereka layak kerana mereka mahir dalam apa yang mereka lakukan, sebab itu, mereka berjaya mendapat tempat. Mereka berada di sana kerana merit dan itu tidak sepatutnya dijadikan isu,” kata Ramanrao.

Dalam ucapannya semasa di bengkel itu, Yatimah berkata kerajaan telah memulakan beberapa langkah untuk menarik lebih ramai wanita ke dalam tenaga kerja, termasuk sokongan terhadap ekonomi penjagaan seperti meningkatkan pengecualian cukai pendapatan bagi elaun penjagaan anak membabitkan ibu bekerja. 

Inisiatif itu jelas menunjukkan komitmen kerajaan untuk melaksanakan dasar inklusif yang bertujuan merungkai halangan yang sering dihadapi wanita dalam mengimbangi tanggungjawab kerja dan keluarga.

Yatimah berkata bahawa dengan menawarkan sokongan penting, kerajaan boleh memperkasakan lebih ramai wanita untuk mengembangkan kerjaya mereka, dengan itu meningkatkan sumbangan mereka kepada ekonomi dan akhirnya mewujudkan ekonomi yang menghargai kepelbagaian serta keterangkuman sebagai pemacu utama inovasi dan kemajuan.

"Perlu juga untuk mengiktiraf syarikat tersenarai awam di kalangan 26 syarikat OGSE terbaik yang telah mencapai 30 peratus perwakilan wanita.

"Angka-angka ini mengingatkan kita bahawa kepelbagaian bukan hanya sekadar ruang untuk dipernuhi tetapi faktor kritikal dalam memupuk tadbir urus yang lebih mantap dan kepimpinan yang lebih inklusif,” tambahnya. 

MyWiE, yang ditubuhkan pada 10 Jan 2018 merupakan kumpulan advokasi dengan objektif utama memperjuangkan peluang sama rata bagi wanita dalam sektor tenaga, disokong oleh firma-firma yang menjadi pengasasnya seperti Petronas, Shell, Sarawak Energy Bhd, 30% Club, PEMANDU Associate dan MGA.

MGA ialah urusetia yang dilantik untuk MyWiE.

 

(Penafian : Ini merupakan artikel berbayar. BERNAMA tidak bertanggungjawab di atas kandungan, ketepatan dan pendapat yang dibawa oleh artikel berkenaan)

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan