EKONOMI > BERITA

Niaga Hadapan MSM Dijangka Diniagakan Mendatar Minggu Depan

28/09/2024 10:20 AM

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 28 Sept (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan mendatar minggu depan berikutan peniaga meneliti faktor pasaran bersempena cuti Minggu Emas di China yang akan datang, kata peniaga.

Peniaga minyak sawit David Ng berkata pasaran dijangka mencari petunjuk yang boleh menganjakkan harga minggu depan, seperti prestasi minyak kacang soya dan data eksport minyak sawit.

“Kami menjangka harga MSM diniagakan antara RM3,950 dan RM4,100 minggu depan,” katanya kepada Bernama.

Peniaga minyak sawit kanan Interband Group of Companies Jim Teh mengunjurkan harga MSM diniagakan lebih rendah minggu depan berikutan peniaga mendapat keuntungan dalam keadaan kenaikan harga baru-baru ini.

Beliau berkata harga MSM dijangka diniagakan antara RM3,700 dan RM3,900 minggu depan.

“Permintaan fizikal MSM akan diterima dari China, Pakistan, negara Timur Tengah, Amerika Syarikat dan negara Eropah, walaupun permintaan dari India yang perlahan akibat harga MSM yang tinggi,” kata Teh.

Pada asas Jumaat kepada Jumaat, kontrak bulan semerta Oktober 2024 meningkat RM132 kepada RM4,159 satu tan, November 2024 naik RM95 kepada RM4,096 manakala Disember 2024 menambah RM104 kepada RM4,051.

Kontrak Januari 2025 menokok RM89 kepada RM4,014, Februari 2025 meningkat RM72 kepada RM3,979 dan Mac 2025 naik RM60 ke RM3,945.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 472,374 lot daripada 368,026 minggu lepas manakala kepentingan terbuka menokok kepada 258,379 kontrak daripada 254,752 sebelumnya.

Harga MSM fizikal bagi Oktober Selatan menambah RM140 kepada RM4,210 pada Jumaat berbanding RM4,070 minggu lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan