EKONOMI > BERITA

Neoteric Engineering Juara Utama SME Bank Sandbox Swiss Innovation Challenge 2024

01/10/2024 05:38 PM

KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) -- Neoteric Engineering Sdn Bhd menduduki tempat pertama di bawah Kategori Terbuka SME Bank Sandbox Swiss Innovation Challenge (SSSIC) 2024 membawa pulang wang tunai sebanyak RM30,000 dan dinobatkan sebagai juara utama.

Syarikat kejuruteraan industri itu akan mewakili Malaysia dengan dua wakilnya membentangkan projek inovasi kemenangan mereka di Switzerland pada 21 Okt, 2024.

Neoteric Engineering merevolusikan pertanian dan perniagaan tani dengan inisiatif Perladangan Ketepatan Dipacu Data dengan menyepadukan teknologi canggih seperti kecerdasan buatan (AI), internet pelbagai benda (IoT) dan data satelit untuk mengubah amalan pertanian menjadi lebih cekap dan mampan.

Naib juara dalam Kategori Terbuka ialah ProFeather manakala Materials in Works Sdn Bhd menduduki tempat ketiga dengan masing-masing menerima RM20,000 dan RM15,000.

Bagi Kategori Pengajian Tinggi, Sunshine (FarmE) yang terdiri daripada pelajar Asia Pacific University of Technology & Innovation merangkul juara, membawa pulang RM20,000, Smartlink Innovation (Ecowatch) dari Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman menjadi naib juara menerima RM15,000 dan REMORA dari University of Southampton mendapat tempat ketiga, memenangi RM10,000.

SSSIC 2024 menyaksikan sebanyak 439 penyertaan dan telah melalui proses saringan yang ketat dengan 68 pasukan telah disenarai pendek dan hanya tinggal 19 finalis, terdiri daripada 10 di bawah Kategori Terbuka dan sembilan Kategori Pengajian Tinggi.

Cabaran tahun ini memberikan tumpuan yang kuat pada inovasi, kemampanan dan impak sosial memandangkan majoriti penyertaan daripada para peserta adalah selaras dengan prinsip Matlamat Pembangunan Mampan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata kerjasama antara SME Bank dan rakan kongsinya memupuk inovasi dan kemampanan dalam ekosistem keusahawanan tempatan serta menyokong Agenda Pembangunan Mampan 2030 kerajaan.

“SSSIC 2024 merupakan contoh yang baik daripada kerajaan untuk mewujudkan banyak peluang melalui agensinya untuk terus memperkasakan usahawan tempatan kita di pasaran tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank Datuk Dr Mohammad Hardee Ibrahim berkata SSSIC 2024 merupakan kerjasama antara SME Bank dan Swiss Innovation Challenge (SIC), sebuah program berprestij yang dimiliki oleh School of Business of the University of Applied Sciences and Arts Northwestern Switzerland (FHNW) yang memupuk inovasi di kedua-dua negara ASEAN dan Eropah.

Beliau berkata kerjasama ini telah memberikan SME Bank peluang untuk bersama-sama dengan rakan strategik bagi menyediakan platform yang unik untuk usahawan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mempamerkan idea perniagaan inovatif mereka.

"Melalui cabaran ini, kami berusaha untuk memberi inspirasi kepada penyelesaian baharu, memacu model perniagaan yang mampan dan memberi impak yang bermakna dan berkekalan kepada masyarakat sekitar," katanya.

SSSIC 2024 dilengkapi dengan pengetahuan praktikal dan peningkatan kemahiran melalui jurulatih dan usahawan yang berpengalaman serta disokong oleh Universiti Malaysia Kelantan, Putra Business School, DRB-HICOM University of Automotive Malaysia dan Swiss Malaysian Chamber of Commerce.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan