EKONOMI > BERITA

IILM Terbitkan Semula Sukuk Jangka Pendek US$1.14 Bilion

01/10/2024 11:47 PM

KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) -- Perbadanan Pengurusan Kecairan Islam Antarabangsa (IILM)  menyelesaikan terbitan semula agregat US$1.14 bilion (US$1=RM4.1530) untuk sukuk jangka pendek, masing-masing bagi tempoh satu, tiga dan 12 bulan.

Dalam kenyataan hari ini, IILM berkata tiga siri sukuk itu berharga kompetitif pada 4.90 peratus bagi US$490 juta untuk tempoh satu bulan; 4.80 peratus bagi US$430 juta untuk tempoh tiga bulan; dan 4.15 peratus bagi US$220 juta untuk tempoh 12 bulan.

Menurutnya terbitan semula sukuk terkini ini menandakan lelongan ke-11 IILM bagi tahun ini, serta kali ketiga bagi tempoh 12 bulan yang ditawarkan pada 2024.

“Terbitan semula sukuk ini menyaksikan tender yang kompetitif dalam kalangan peniaga utama dan pelabur dari pasaran di seluruh Majlis Kerjasama Teluk dan Asia, dengan gabungan nilai perolehan kontrak melebihi US$2.43 bilion, menjana purata nisbah bida kepada perlindungan sebanyak 213 peratus,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif IILM Mohamad Safri Shahul Hamid berkata hasil lelongan terkini itu menyaksikan permintaan yang kukuh terhadap kertas Islam jangka pendek dan nisbah bida kepada perlindungan untuk ketiga-tiga tempoh.

"Sukuk jangka pendek IILM terus tampil antara penyelesaian pengurusan mudah tunai Islam yang lebih dipilih banyak institusi global yang berminat dengan instrumen patuh Syariah," katanya.

Katanya setakat ini pada tahun ini, IILM telah menerbitkan sukuk berjumlah keseluruhan US$10.51 bilion untuk 33 siri sukuk.

Menurutnya terbitan itu membentuk sebahagian daripada program terbitan sukuk jangka pendek IILM bernilai US$6 bilion yang diberi penarafan “A-1” (S&P Global Ratings) dan “F1” (Fitch Ratings). 

Jumlah sukuk terkumpul IILM kini berjumlah US$4 bilion, katanya.

-- BERNAMA

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan