EKONOMI > BERITA

HLIB Jangka Belanjawan 2025 Imbangi Disiplin Fiskal Dan Pertumbuhan KDNK

02/10/2024 01:08 PM

KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) menjangkakan Belanjawan 2025 akan menepati laluan pengukuhan fiskal secara bertanggungjawab, dengan sasaran defisit fiskal yang lebih rendah daripada -4.3 peratus kepada -3.9 peratus.

Bank pelaburan itu menjelaskan namun pada masa sama, belanjawan itu akan menyokong pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), penjimatan subsidi dan aliran hasil yang meningkat.

Menerusi nota penyelidikan pada Rabu, HLIB memaklumkan aliran hasil kerajaan baharu yang diperkenalkan tahun ini sewajarnya mencatatkan kesan setahun penuh pada 2025.

Ia termasuk cukai perkhidmatan yang lebih tinggi (2024: RM3.5 bilion), cukai ke atas barang bernilai rendah (RM0.2 bilion), cukai keuntungan modal ke atas saham tidak tersenarai (RM0.8 bilion) dan langkah e-invois baharu (RM2 bilion), tambah HLIB.

Menurut HLIB, selain itu, pada 2025, kadar cukai minimum global sebanyak 15 peratus akan dilaksanakan untuk sejajar dengan piawaian antarabangsa, manakala pelaksanaan cukai barang bernilai tinggi (HVGT) yang ditangguhkan sebelum ini mungkin jug dilaksanakan.

“Pada masa sama, kami berpandangan kerajaan dijangka meneruskan usaha rasionalisasi subsidi, mungkin melibatkan penamatan subsidi elektrik (2024: RM4.5 bilion), memperluas rasionalisasi subsidi diesel untuk melibatkan Malaysia Timur (2024: RM4 bilion) dan memperkenalkan penyasaran subsidi (berbanding dengan pemberian subsidi secara menyeluruh) bagi RON95.

“Secara kolektif, penjimatan daripada pengurangan subsidi dan hasil yang lebih tinggi dijangka digunakan untuk membiayai langkah dasar yang disasarkan kerajaan seperti kenaikan gaji kakitangan awam (antara 16.8-42.7 peratus; kos sekitar RM10 bilion) dan pemberian tunai melalui Bantuan Sara Hidup (BSH) dan Budi Madani,” tambahnya.

HLIB menjelaskan pihaknya menjangkakan perbelanjaan pembangunan (DE) berjumlah RM85 bilion bagi 2025 apabila jumlah pada 2024 dijangka disemak turun daripada RM90 bilion kepada RM80 bilion, berikutan perbelanjaan yang lebih rendah pada separuh pertama 2024.

“Sama seperti belanjawan lepas, kami menjangkakan peningkatan pemberian bantuan tunai -- BSH -- ditambah dengan langkah seperti Akaun 3 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan kenaikan gaji kakitangan awam yang akan dilaksanakan, ini sewajarnya positif untuk peruncitan pengguna dan jenama kereta nasional.

“Bersedia untuk Tahun Melawat Malaysia 2026 (sasaran tinggi 35.6 juta pelancong), kami menjangkakan peruntukan lebih tinggi untuk pelancongan memberi manfaat kepada sektor seperti penerbangan, Genting Bhd, penjagaan kesihatan dan amanah pelaburan hartanah pusat beli-belah,” menurut bank pelaburan itu.

Menurut HLIB, mengambil petunjuk daripada pelancaran Zon Kewangan Khas Forest City baru-baru ini, ada kemungkinan beberapa inisiatif berkaitan zon ekonomi khas diumumkan semasa Belanjawan 2025, yang akan memberi kesan positif terhadap hartanah dan pembinaan.

Selain itu, harapan belanjawan lain oleh bank pelaburan itu termasuk peningkatan DE dikekalkan untuk memberi manfaat kepada pembinaan, peruntukan penjagaan kesihatan yang lebih tinggi untuk mencapai lima peratus daripada sasaran KDNK jangka panjang, pengembangan/lanjutan inisiatif kenderaan elektrik sedia ada, semakan levi keuntungan luar biasa bagi minyak sawit adalah munasabah dan tiada kenaikan cukai untuk sektor tembakau, minuman keras dan perjudian),” tambahnya.

Belanjawan 2025 akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada Jumaat 18 Okt, 2024.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan