EKONOMI > BERITA

KIP REIT Peroleh Kelulusan RM320 Juta Beli DPulze

02/10/2024 05:47 PM

KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- KIP Real Estate Investment Trust (KIP REIT) telah mendapat kelulusan pemegang saham untuk mengambil alih Pusat Membeli Belah DPulze di Cyberjaya pada harga RM320 juta.

Syarikat pelaburan hartanah itu juga menerima kebenaran bagi penempatan persendirian sehingga 180 juta unit baharu, mewakili kira-kira 29.1 peratus daripada unit terbitan sedia ada, untuk membiayai sebahagian daripada pengambilalihan itu.

Dalam satu kenyataan hari ini selepas mesyuarat agung tahunan dan luar biasanya, KIP REIT berkata ia menjangkakan pelaksanaan penempatan persendirian itu akan mengumpul sehingga RM146.7 juta dalam hasil kasar.

“Daripada 180 juta unit baharu, sehingga 9 juta unit akan diperuntukkan kepada pemegang unit utama KIP REIT Datuk Ong Kook Liong, manakala sehingga enam juta unit kepada Ketua Pegawai Eksekutif KIP REIT Valerie Ong Pui Shan,” katanya.

Valerie menjelaskan pengambilalihan itu merupakan pelaburan terbesar mereka, ini akan mengukuhkan lagi portfolio runcit KIP REIT.

“Berdasarkan pendapatan bersih hartanah RM22.8 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Jan 2024, hasil daripada hartanah tersebut dijangka menjana 7.1 peratus.

“DPulze disewakan 100 peratus dan setelah selesai pengambilalihan, yang dijadualkan secara tentatif menjelang suku pertama 2025, kami menjangkakan pengembalian sewa yang lebih tinggi, seterusnya menyumbang kepada pendapatan yang lebih baik serta kestabilan pendapatan jangka panjang,” kata Valerie.

Susulan pembelian ini, bersama lima cadangan pengambilalihan lain termasuk empat aset perindustrian dan pasar raya besar di Gerik, Perak, jumlah penilaian hartanah pelaburan KIP REIT diunjurkan mencecah hampir RM1.5 bilion, dengan kawasan boleh disewa bersih menokok sebanyak 49.5 peratus kepada 28.89 hektar.

Valerie juga berkata KIP REIT kekal komited terhadap strateginya untuk meningkatkan jumlah aset di bawah pengurusannya kepada RM2 bilion pada tahun-tahun akan datang sambil memberikan pulangan yang mampan dan konsisten kepada pemegang unit.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan