EKONOMI > BERITA

Belanjawan 2025: Tenaga Boleh Diperbaharui, Pengurusan Alam Sekitar Perlu Diutamakan

04/10/2024 03:22 PM

KUALA LUMPUR, 4 Okt (Bernama) -- Penggunaan dan penyelidikan tenaga boleh diperbaharui, sokongan kepada penyelidikan serta penguatkuasaan pengurusan alam sekitar antara aspek perlu dititikberatkan dalam Belanjawan 2025 sekali gus memacu pertumbuhan mampan berkaitan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Penyelidik Kaji Bumi Muhammad Hafeez Jeofry meminta kerajaan agar memberikan perhatian terhadap usaha menggalakkan lebih banyak penggunaan tenaga boleh diperbaharui bagi menggantikan bahan bakar fosil, dalam Belanjawan 2025.

Beliau berkata ini penting untuk mengurangkan intensiti pelepasan karbon yang menjejaskan alam sekitar dan kebergantungan terhadap bahan bakar fosil yang semakin terhad.

Beliau memberitahu Bernama bahawa setakat ini penggunaan tenaga boleh diperbaharui seperti solar dan hidrogen di Malaysia adalah di peringkat awal dan belum diterokai sepenuhnya disebabkan bahan api petrol yang masih boleh didapati dengan murah berbanding kebanyakan negara luar.

“Di United Kingdom dan China contohnya, disebabkan harga petrol yang mahal, penduduknya sanggup beralih kepada penggunaan kereta elektrik (EV) yang jauh lebih rendah menghasilkan jejak karbon tetapi di sini (Malaysia) ia menjadi cabaran besar kerana kekurangan kemudahan stesen pengecasan kereta elektrik.

“… mungkin kekurangan ini yang boleh diteliti kerajaan supaya lebih banyak stesen pengecasan EV  dapat disediakan tetapi pada masa sama tidak berhenti mencari alternatif untuk mengurangkan kadar tarif elektrik supaya lebih ramai rakyat dapat beralih ke kereta elektrik berbanding menggunakan kenderaan konvensional,” katanya.

Memandangkan tenaga boleh diperbaharui juga mempunyai impak besar terhadap usaha menangani perubahan iklim, Pensyarah Kanan Fakulti Sains dan Sekitaran Marin Universiti Malaysia Terengganu (UMT) itu turut mencadangkan agar insentif atau dana penyelidikan diberikan kepada universiti tempatan untuk menjalankan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) berkaitan sektor berkenaan.

“Tanpa menjalinkan kerjasama dengan syarikat-syarikat swasta, universiti tidak mempunyai dana untuk melakukan R&D jadi wajar ia diusahakan bagi membantu akademia menjalankan kajian-kajian berkaitan kelestarian alam,” katanya.

Selain itu, beliau berharap Belanjawan 2025 dapat memperincikan polisi pengurusan sisa plastik yang lebih ketat dan berkesan untuk penduduk di kawasan perumahan memandangkan masih ramai lagi yang mengambil mudah soal pembuangan sisa itu. 

“Kalau perlu, labur sejumlah wang kepada pihak berkuasa tempatan untuk penyediaan tong-tong khas untuk sisa buangan plastik di taman perumahan kerana cara ini lebih efektif berbanding hendak menggalakkan pengguna datang sendiri ke pusat kitar semula yang kadangkala jauh dari rumah mereka,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Lapangan Sahabat Alam Sekitar (SAM) Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata kerajaan perlu menyediakan peruntukan bagi meningkatkan kemampuan dan memperkasakan agensi penguatkuasaan di peringkat persekutuan antaranya Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan), Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM). 

Beliau berkata menerusi peruntukan itu, agensi terlibat boleh menambah bilangan anggota serta  memperbaik logistik penguatkuasaan seperti kenderaan dan peralatan yang bersesuaian selain meningkatkan kecekapan dan profesionalisme petugas. 

Meor Razak juga berharap kerajaan memberikan peruntukan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha menggalakkan projek pemuliharaan alam sekitar, pengurusan biodiversiti dan perhutanan antaranya menerusi program penanaman pokok. 

“Sebagai contoh, dana yang agak besar diberikan kepada kontraktor-kontraktor untuk program penanaman pokok berbanding peruntukan kepada NGO sedangkan NGO pun berkemampuan untuk terlibat dalam kerja-kerja penanaman pokok. 

“Malah kos yang dilakukan oleh NGO lebih rendah berbanding yang dilakukan kontraktor kerana NGO tidak bermatlamatkan keuntungan,” katanya. 

Mengenai peruntukan bagi pendidikan alam sekitar, beliau berkata NGO turut memerlukan dana daripada pihak kerajaan untuk membantu menjayakan dasar kerajaan yang berkait dengan kesejahteraan alam sekitar. 

Belanjawan 2025 iaitu belanjawan ketiga di bawah Kerajaan Perpaduan dijangka dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 18 Okt ini di Dewan Rakyat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan