EKONOMI > BERITA

KDNK 2024 Malaysia Diyakini Atasi Sasaran Pertumbuhan - Amir Hamzah

08/10/2024 09:19 PM

Oleh Nurul Jannah Kamaruddin

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Malaysia diunjur mencapai pertumbuhan mengatasi sasaran bagi 2024 dipacu oleh kekukuhan dasar fiskal dan komitmen berterusan terhadap pembaharuan berasaskan kerangka Ekonomi MADANI, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata transformasi ekonomi negara sedang mengumpul momentum, walaupun menghadapi cabaran seperti polarisasi politik, jurang sosioekonomi yang semakin luas dan ketegangan geopolitik berterusan.

“Saya yakin kita semua berkongsi keyakinan bahawa Malaysia berada di landasan untuk melepasi sasaran pertumbuhan negara 4.0 hingga 5.0 peratus bagi 2024,” katanya ketika berucap menutup Forum Megatrends Khazanah 2024 di sini, pada Selasa.

Beliau berkata dengan petunjuk makroekonomi yang positif menyediakan tetapan yang kukuh, kerajaan menerusi Belanjawan 2025 boleh menumpukan usaha meneruskan dasar fiskal yang teguh untuk daya tahan ekonomi di samping inisiatif mengutamakan rakyat bagi memastikan tiada yang terpinggir.

Belanjawan 2025 akan bercirikan pandangan jauh, inklusif dan berdaya tahan selain menyokong pelaburan, pembangunan, pemerkasaan, dan yang paling penting, prorakyat.

Amir Hamzah berkata usaha sedang dijalankan di Kementerian Kewangan (MOF) untuk merealisasikan visi MADANI iaitu Membangunkan Bersama Malaysia yang Lebih Baik.

“Melalui sesi libat urus dan jerayawara sebagai persediaan untuk Belanjawan 2025, MOF telah bekerjasama dengan pihak berkepentingan daripada semua lapisan masyarakat -- meliputi orang ramai, penjawat awam, badan pemikir, peserta industri, dan penyedia modal.

“Ini bagi memastikan penyediaan belanjawan yang lebih inklusif, lebih relevan dan lebih berimpak yang akan memperkukuh ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata rancangan mengikut kerangka Ekonomi MADANI menunjukkan tanda-tanda kemajuan yang jelas, dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua meningkat 5.9 peratus, disokong oleh pemulihan yang stabil dalam sektor utama seperti pembinaan, pembuatan, perkhidmatan dan pelancongan.

Di samping itu, prestasi kukuh yang dicatatkan menerusi pelaburan langsung asing dan domestik mencerminkan keyakinan pelabur yang semakin meningkat, katanya.

Amir Hamzah berkata tambahan pula, inflasi reda kepada 1.9 peratus pada Ogos, membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup terhadap rakyat.

Prestasi bursa tempatan, dengan permodalan pasaran mencecah paras tinggi sepanjang masa melebihi RM2 trilion pada Jun tahun ini, membuktikan daya tahan ekuiti domestik walaupun berlaku ketidaktentuan global, katanya.

Beliau berkata ringgit terus mengungguli prestasi kalangan mata wang serantau, meningkat 12.5 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sejak Februari tahun ini.

Walaupun pertumbuhan Malaysia memberangsangkan dari segi angka namun, perkara itu hanya menceritakan sebahagian daripada pencapaian negara, katanya.

“Bagaimanapun, sebagai sebuah negara, Malaysia bukan sahaja ditentukan oleh ekonominya malah juga oleh rakyatnya, budayanya dan sikap kolektifnya terhadap kemajuan.

“Oleh itu, pembangunan negara mesti merangkumi lebih daripada sekadar metrik ekonomi, usaha itu memerlukan komitmen terhadap keterangkuman, menghargai kekuatan kepelbagaian kita, memupuk bakat dan mendorong inovasi,” katanya.

Amir Hamzah berkata oleh yang demikian, cara Malaysia meneruskan langkah pertumbuhan seterusnya bergantung bukan sahaja pada keupayaan untuk kekal melaksanakan tugas sukar melibatkan dasar yang kukuh malah juga pada kapasitinya untuk terbuka kepada kerjasama, inovasi dan komited terhadap penyelesaian berpandangan jauh yang boleh memberi impak nasional yang bermakna.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan