EKONOMI > BERITA

Lonjakan Permintaan Dan Dasar Menyokong Pacu Pertumbuhan Pasaran AI Negara - IBM Malaysia

10/10/2024 02:55 PM

Oleh Anas Abu Hassan dan Nur Athirah Mohd Shaharuddin

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Permintaan yang semakin meningkat terhadap penyelesaian disokong kecerdasan buatan (AI), di samping dasar kerajaan yang menyokong inovasi teknologi akan memacu pertumbuhan pasaran AI Malaysia.

Pengarah urusan dan ketua teknologi IBM Malaysia, Dickson Woo berkata pelaburan berterusan dalam penyelidikan dan pembangunan AI dan perkongsian padu awam-swasta akan menjadi kunci bagi mengekalkan pertumbuhan ini.

“Selain itu, inisiatif kerajaan seperti Dasar Revolusi Perindustrian ke-4 Negara (Dasar 4IR Negara) dan program ‘AI Untuk Rakyat’ dijangka memainkan peranan penting dalam memupuk ekosistem mesra AI. 

"Perniagaan boleh menyokong pemacu ini dengan melabur dalam keupayaan AI, memupuk budaya inovasi dan menyertai secara aktif inisiatif AI yang diterajui kerajaan," katanya kepada Bernama.

Woo berkata bagi mengekalkan kelebihan daya saing Malaysia, pelaburan untuk mengembang dan meningkatkan infrastruktur digital negara perlu ditingkatkan.

Beliau menekankan keperluan untuk meningkatkan liputan jalur lebar, mempercepatkan pelancaran 5G dan mengukuhkan keupayaan pengkomputeran awan, dengan menyatakan bahawa pelaburan ini penting untuk menyokong tulang belakang ekonomi digital dan membantu inovasi seperti AI berkembang maju.

"Memandangkan AI semakin disepadukan ke dalam operasi perniagaan dan kerajaan, penting untuk memastikan teknologi ini dikendalikan secara beretika dan telus.

“Malaysia boleh menerajui usaha mewujudkan rangka kerja tadbir urus yang mengutamakan privasi, keselamatan dan kesaksamaan data dalam penggunaan AI," katanya.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil baru-baru ini menggariskan tiga tonggak utama yang bertujuan membina tulang belakang digital didayakan AI dan mentransformasikan Malaysia menjadi negara dipacu teknologi yang memanfaatkan ketersambungan.

Tiga tunjang tersebut - melaksanakan dasar yang berpandangan kehadapan, membina infrastruktur yang mampan dan memupuk kemahiran merentas semua segmen masyarakat - akan membolehkan ketersambungan dimanfaatkan untuk memacu kemajuan, menggalakkan keterangkuman dan membina masa depan yang lebih baik untuk semua.

Menurut Woo, IBM melihat keperluan untuk pembiayaan dan insentif kerajaan yang bersasar bagi mempercepat pembangunan dan penggunaan AI dan teknologi baru muncul yang lain.

"Ini mungkin melibatkan geran dan subsidi untuk perniagaan yang melabur dalam penyelesaian AI. Memperluas inisiatif seperti Pelan Hala Tuju Kecerdasan Buatan Negara akan memastikan Malaysia kekal menerajui inovasi teknologi," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan