EKONOMI > BERITA

ECERDC Raih RM13.3 Bilion Pelaburan Direalisasikan Sehingga September, Lepasi Sasaran 2024

15/10/2024 09:15 PM

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) melepasi pelaburan yang disasarkan sebanyak RM10 bilion untuk 2024 dengan RM13.3 bilion pelaburan direalisasikan di wilayah itu setakat September 2024.

Pelaburan itu dijangka mewujudkan lebih 8,700 peluang pekerjaan dalam pelbagai industri termasuk pembuatan keluli, petrokimia, produk biojisim dan pelancongan, kata ECERDC.

“Di bawah Pelan Induk ECER 2.0 (EMP 2.0) (2018 – 2025), ECERDC meraih pelaburan direalisasikan berjumlah RM44.4 bilion di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), mewakili 90 peratus sasaran RM49 bilion seperti yang ditetapkan dalam EMP 2.0.

“Pelaburan ini telah mewujudkan lebih 69,000 peluang pekerjaan dan 23,000 peluang keusahawanan, memacu pertumbuhan ekonomi yang besar di seluruh rantau ini,” katanya dalam satu kenyataan.

 Dalam masa yang sama, ECERDC telah memudah cara pelaburan komited berjumlah RM58.6 bilion, mewakili 84 peratus sasaran RM70 bilion di bawah EMP 2.0.

Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC Datuk Baidzawi Che Mat berkata mencapai 90 peratus daripada sasaran RM49 bilion di bawah EMP 2.0 adalah bukti jelas potensi ekonomi yang semakin meningkat di rantau itu.

“Pelaburan yang direalisasikan dan penciptaan pekerjaan telah meningkatkan ekonomi rantau ini dengan ketara.

“Usaha berterusan ECERDC dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) meletakkan Wilayah Pantai Timur sebagai hab pelaburan strategik yang bersedia untuk menarik aliran masuk modal yang tinggi,” katanya selepas mesyuarat majlis ECER kedua bagi 2024 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Sementara itu, Baidzawi berkata dalam mesyuarat berkenaan, MIDA dan ECERDC memuktamadkan rangka kerja kerjasama yang meningkatkan daya tarikan rantau itu kepada pelabur.

“Sinergi antara MIDA dan ECERDC adalah penting dalam memastikan kelancaran dan kejayaan pemudahcaraan pelaburan di Wilayah Pantai Timur, dari peringkat awal sehingga fasa sokongan selepas pelaburan,” tambah beliau.

Menurut kenyataan itu, ECERDC turut membentangkan pelan pembangunan ECER di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 dari 2026-2030 dalam mesyuarat itu, memfokuskan kepada empat teras strategik utama.

“Empat teras utama, termasuk meningkatkan keterjaminan makanan melalui bakul makanan negara, mencipta destinasi pelancongan baharu seperti Pelancongan Rel ECER, pembangunan industri marin termasuk pembinaan kapal dan pembaikan kapal dan memajukan sektor pembuatan "Hard-to-Abate" (industri yang sukar untuk menurunkan pelepasan gas rumah hijau) seperti keluli, petrokimia dan mineral.

“Inisiatif ini akan disokong oleh pemboleh daya utama seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang berfungsi sebagai jambatan darat antara pantai timur dan barat, mengukuhkan kedudukan strategik Wilayah Pantai Timur sebagai pintu masuk ke China dan Asia Pasifik dengan perluasan pelabuhan dan lapangan terbang untuk meningkatkan perdagangan dan pelancongan,” katanya.

Selain itu, ECERDC menyasarkan untuk mencapai RM225 bilion dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030, dipacu oleh kadar pertumbuhan tahunan sebanyak tujuh peratus.

“Projek-projek utama dalam empat sektor ekonomi, bersama inisiatif pemangkin dijangka menyumbang 60 peratus daripada jumlah KDNK Wilayah Pantai Timur dalam tempoh ini.

“Fokus strategik ini memberi penekanan yang signifikan dalam menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan