EKONOMI > BERITA

Syarikat China Harus Pertimbang Malaysia Sebagai Hab Serantau, Tubuh Ibu Pejabat - Liew

16/10/2024 06:22 PM

Oleh Zarul Effendi Razali

HAINAN (China), 16 Okt (Bernama) -- Syarikat China harus mempertimbangkan Malaysia sebagai destinasi yang ideal untuk menubuhkan ibu pejabat serantau, yang seterusnya berkembang di peringkat antarabangsa melalui Malaysia, kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong.

Dalam ucapannya yang dirakam terlebih dahulu di Forum Pelaburan Dua Hala CGS Asia Tenggara (SEA) di sini hari ini, beliau berkata kekuatan Malaysia terletak pada tenaga kerja berbilang bahasa yang mahir dan berpendidikan, rangka kerja undang-undang yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, rangkaian logistik yang komprehensif dan masyarakat yang stabil.

Beliau berharap dengan peningkatan komunikasi antara kedua-dua negara akan dapat mewujudkan kerjasama yang lebih mendalam dan erat antara Malaysia dan China.

“Selain kerjasama ekonomi dan perdagangan tradisional, Malaysia dan China harus bekerjasama dalam industri pesat membangun, terutamanya kenderaan tenaga baharu dan sistem solar fotovolta. 

"Kami mengharapkan kerjasama yang lebih erat dalam pembangunan teknologi dan aplikasinya untuk menyelesaikan cabaran harian," katanya.

Liew berkata syarikat China juga perlu melihat Malaysia sebagai gerbang masuk ke seluruh Asia apabila negara ini menjadi Pengerusi ASEAN tahun depan.

Beliau berkata sepuluh negara ASEAN kini mempunyai populasi 670 juta, yang dijangka meningkat kepada lebih 800 juta dalam dua dekad akan datang.

“Apabila China menyertai Pertubuhan Perdagangan Dunia pada 2001, kira-kira 100 juta orang berada dalam kelas pertengahan.

"Hari ini, China mempunyai sekurang-kurangnya 400 juta orang yang menjalani gaya hidup kelas pertengahan, menjadikannya pasaran global yang besar," katanya.

Menurut Liew, jika Asia Tenggara mampu membangunkan populasi kelas pertengahan sebesar 400 juta China semasa dalam tempoh 15 hingga 20 tahun akan datang, rantau ini juga akan muncul sebagai pasaran pengguna yang sangat besar.

“China dan Asia Tenggara boleh bekerjasama dalam banyak bidang. Kami berharap apabila Malaysia mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN tahun depan, lebih banyak kerjasama dilaksanakan, terutamanya dalam industri baharu seperti kenderaan tenaga baharu dan piawaiannya,” katanya.

Sementara itu, Forum Pelaburan Dua Hala CGS SEA 2024, dari 16-17 Okt, 2024, menghimpunkan 300 penggubal dasar, pakar industri dan pemimpin perniagaan terkemuka untuk meneroka arah aliran makroekonomi yang pesat membangun dan peluang pelaburan dua hala antara China dan Asia Tenggara.

Forum itu juga akan meneroka sektor pertumbuhan tinggi seperti semikonduktor, tenaga baharu, penjagaan kesihatan, ekuiti swasta, hospitaliti dan ekonomi digital, menampilkan ahli panel pakar dari China dan Asia Tenggara.

Pengerusi China Galaxy Securities Co Ltd (CGS) Wang Sheng berkata tumpuan pada rantaian bekalan yang pelbagai dan berdaya tahan telah meningkatkan kepentingan koridor China-ASEAN, mewujudkan peluang pertumbuhan global untuk perniagaan yang bercita-cita tinggi.

“Di CGS, kami sentiasa percaya pada kuasa ketersambungan dan jalinan kerjasama.

“Kami menyasarkan untuk memudahkan pelaburan dan pembiayaan rentas sempadan, sekali gus memupuk pembangunan ekonomi dan sosial di seluruh China dan ASEAN,” katanya.

Beliau berkata forum itu diadakan seiring rancangan China untuk menjadikan Hainan sebagai pelabuhan perdagangan bebas terbesar di dunia menjelang 2025.

Menerusi forum itu, ia menawarkan pandangan yang tidak ternilai bagaimana peralihan ini akan membentuk semula ekonomi China dan mewujudkan peluang baharu untuk kerjasama antara Hong Kong, Greater Bay Area, dan Asia Tenggara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan