EKONOMI > BERITA

MDEC Raih Peluang Eksport Digital Lebih RM360 Juta Di GITEX Global, ENS 2024

17/10/2024 09:43 PM

Daripada Nurunnasihah Ahmad Rashid

 DUBAI, 17 Okt (Bernama) -- Penglibatan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) pada Pameran Teknologi Maklumat Teluk (GITEX) Global dan Expand North Star (ENS) 2024 di Dubai telah menghasilkan peluang eksport lebih RM360 juta, iaitu lonjakan yang luar biasa sebanyak 10 peratus daripada yang dicapai pada acara yang sama tahun lepas.

Jumlah nilai semasa itu telah melepasi sasaran awal MDEC iaitu sebanyak RM300 juta dalam peluang eksport digital di seluruh rantau Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA) dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

Bagaimanapun, Ketua Pemacu Industri Digital MDEC Ir Wan Murdani Wan Mohamad percaya nilai akhir untuk peluang eksport dijangka terus meningkat apabila GITEX berakhir minggu ini.

 GITEX Global yang berlangsung selama lima hari merupakan acara teknologi terbesar di dunia, akan berakhir pada 18 Okt, manakala bagi ENS pula, ia menghimpunkan syarikat pemula niaga dan pelabur, berlangsung dari 13 hingga 16 Okt.

Beliau memuji hasil semasa di acara itu adalah bukti daya tarikan yang kukuh bagi penyelesaian digital termaju Malaysia, terutamanya dalam bidang tumpuan teknologi berimpak tinggi seperti kecerdasan buatan, teknologi kewangan, keselamatan siber dan Internet pelbagai benda.

“Kedua-dua ENS dan GITEX Global telah terbukti sebagai platform yang sangat baik untuk kami berhubung dengan bakal rakan kongsi dan mempamerkan syarikat kami, menawarkan peluang bukan sahaja di rantau ini tetapi juga di pasaran luar Dubai.

“Peningkatan yang ketara ini menekankan kekuatan dan daya saing syarikat kami di pasaran global, dengan permintaan yang berkembang pesat untuk penyelesaian inovatif mereka,” katanya kepada Bernama.

Malaysia memberi impak yang ketara di acara ENS 2024 dengan menyediakan pavilion seluas 120 kaki persegi yang dirasmikan oleh Konsul Jeneral Malaysia ke Dubai Mohd Fadly Amri Aliaman dan Pesuruhjaya Perdagangan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Emiriah Arab Bersatu (UAE) Megat Iskandar Ahmad Dassilah.

Pavilion Malaysia itu menampilkan 15 syarikat teknologi tempatan iaitu OmniNexus, Codon Genomics, ProximaX Malaysia, Wilstech, Vero Eco, Moovby, MDT Innovations, Forest Interactive, REDtone, Xanderia, TrackerHero, Kasatria Technologies, Paywatch, GoFluence dan Numa Solution.

MDEC turut mempromosikan 25 profil syarikat teknologi Malaysia kepada ENS dan GITEX Global 2024, termasuk Soft Space Sdn Bhd, IQI Holdings Sdn Bhd, elliance Sdn Bhd, Juris Technologies Sdn Bhd dan Health Digital Technologies Sdn Bhd.

Wan Murdani berkata penyertaan syarikat teknologi Malaysia dalam acara itu menghasilkan prospek perniagaan yang kukuh, yang dijangka menjadi kenyataan dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

Ini menunjukkan syarikat yang menawarkan penyelesaian, produk dan perkhidmatan yang cukup menarik untuk pelanggan berupaya merebut peluang yang ditawarkan, tambahnya.

Beliau berkata strategi agensi itu untuk berkembang ke pasaran antarabangsa baharu adalah sejajar dengan pertumbuhan ekonomi digital Malaysia, yang diunjurkan menyumbang 25.3 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara menjelang 2025.

Wan Murdani menekankan kehadiran Malaysia di platform global itu bukan sahaja mengembangkan rangkaian perniagaan dan perkongsian tetapi juga memperkukuh peranan negara sebagai peneraju digital di rantau ASEAN.

“Kejayaan kami di sini menguatkan kedudukan Malaysia sebagai pintu masuk digital utama ke ASEAN, membuka pintu kepada kerjasama antarabangsa yang lebih besar dan pengembangan pasaran,” tambahnya.

Ekonomi digital ASEAN dijangka melepasi US$1 trilion (US$1=RM4.29) menjelang 2030, menawarkan peluang yang besar kepada syarikat yang ingin berkembang ke Asia Tenggara, katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan