EKONOMI > BERITA

Pelaburan RM85.7 Bilion Diperlukan Bagi Capai Sasaran DSTIN 2021-2030 - MOSTI

17/10/2024 09:16 PM

KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) -- Pelaburan berjumlah RM85.7 bilion dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) diperlukan bagi memastikan sasaran Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030 dapat dicapai.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berkata dasar itu menetapkan sasaran peningkatan Perbelanjaan Kasar R&D (GERD) kepada 2.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2025 dan 3.5 peratus menjelang 2030.

“Berdasarkan unjuran, bagi meningkatkan perbelanjaan R&D kepada 3.5 peratus daripada KDNK menjelang 2030, anggaran perbelanjaan R&D yang diperlukan ialah RM25.7 bilion dari sektor awam dan RM60 bilion dari sektor swasta, berdasarkan nisbah sumbangan 30:70 antara sektor awam dan sektor swasta,” kata kementerian itu menerusi jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen, hari ini.

Kenyataan itu sebagai menjawab soalan Datuk Seri Hasni Mohammad (BN-Simpang Renggam) sama ada kadar dana R&D memberi kesan terhadap pembangunan teknologi dan daya inovasi negara dengan merujuk kedudukan Malaysia berbanding negara lain seperti Korea Selatan dari segi peruntukan R&D.

Kementerian berkata berdasarkan laporan, nisbah GERD terhadap KDNK negara adalah sekitar 1.0 peratus atau RM13.48 bilion dan jauh ketinggalan berbanding Korea Selatan yang memperuntukkan hampir 5.2 peratus daripada KDNK iaitu RM368.09 billion pada 2022.

“Data juga menunjukkan nisbah perbelanjaan R&D antara sektor awam dan sektor swasta di negara ini adalah 59:41 dengan sumbangan sektor swasta adalah 18 peratus yang lebih rendah berbanding sektor awam,” katanya.

Susulan itu, kerajaan mengambil langkah proaktif melalui inisiatif seperti dana Malaysia Science Endowment (MSE), i-Connect, inisiatif Tetingkap Tunggal, insentif potongan cukai dua kali untuk perbelanjaan R&D serta meningkatkan akses kepada teknologi terkini melalui program di bawah pelbagai agensi dan jabatan bagi meningkatkan penglibatan swasta.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan