EKONOMI > BERITA

Projek Mega Pacu Pertumbuhan Ekonomi, Pekerjaan -- Pakar

17/10/2024 11:42 PM

Oleh Abdul Hamid A Rahman and Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) -- Kesinambungan projek infrastruktur utama di bawah kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mampu menjana kesan limpahan yang besar merentasi ekonomi selain memupuk penciptaan pekerjaan, pelaburan, dan meningkatkan kesalinghubungan, menurut pakar.

Projek mega seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Lebuhraya Pan Borneo serta pengembangan semula Bandar Malaysia menandakan kestabilan termasuk keyakinan ekonomi, menarik pelaburan domestik dan asing. 

Pembangunan seperti Bandar Malaysia dijangka merangsang penglibatan sektor swasta, khususnya dalam sektor hartanah, perkhidmatan kewangan dan teknologi, manakala penubuhan hab infrastruktur, termasuk rangkaian pengangkutan utama seperti Transit Aliran Massa 3 (MRT 3) serta ECRL, dijangka terus menggalakkan pelaburan swasta, khususnya dalam logistik, pembuatan dan pelancongan.

 

Penciptaan Pekerjaan Dan Peningkatan Ketersambungan

 

Bercakap kepada Bernama baru-baru ini, Pensyarah Kanan Arshad Ayub Graduate Business School Universiti Teknologi MARA, Profesor Tan Peck Leong memberitahu projek-projek mega itu, jika dilaksanakan dengan visi yang jelas, berpotensi mengubah landskap ekonomi Malaysia.

Salah satu daripada kesan limpahan projek mega yang paling nyata ialah penciptaan pekerjaan memandangkan projek-projek ini melibatkan infrastruktur, pengangkutan serta sektor digital yang akan mewujudkan peluang pekerjaan secara langsung dan tidak langsung, justeru, memberi manfaat kepada masyarakat setempat. 

Dari segi pekerjaan, beliau berkata memandangkan projek mega ini secara umumnya menggaji pekerja mahir tempatan dan asing, ia akan memberi peluang untuk meningkatkan kemahiran tenaga kerja mahir negara. 

Tan ketika mengulas mengenai ketersambungan berkata Lebuhraya Pan Borneo, misalnya, dijangka melonjakkan ketersambungan serantau di Sabah dan Sarawak, menyediakan pembangunan di kawasan luar bandar termasuk menyokong perniagaan tempatan.

Menyamakannya dengan Lebuhraya Utara-Selatan yang telah siap pada 1986, beliau menjelaskan Lebuhraya Pan Borneo akan membawa kesalinghubungan yang sama ke Sabah dan Sarawak selain membuka peluang ekonomi kepada pelbagai komuniti.

 

Pengembangan Sektor Perkhidmatan dan Pelacongan

 

Projek infrastruktur berskala besar seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) termasuk pengembangan seterusnya bersama KLIA2 telah memberi impak ketara kepada sektor pelancongan dan perkhidmatan Malaysia, meletakkan negara sebagai hab pelancongan utama di Asia Tenggara. 

Lokasi strategik lapangan terbang dan kapasiti yang dipertingkatkan telah menjadikan Malaysia sebagai hab pelancongan serantau, menarik berjuta-juta pelancong antarabangsa sehingga merangsang ekonomi domestik.

“Keupayaan lapangan terbang untuk menarik pelancong dari negara maju ke Malaysia membawa impak positif yang besar dengan memacu pelancongan tempatan, meningkatkan perbelanjaan dalam ekonomi domestik serta rizab pertukaran asing,” katanya lagi.

Beliau menambah pembinaan ECRL dan rangkaian pengangkutan lain juga boleh membuka kawasan yang belum diterokai sebelum ini bagi pelancongan, seterusnya menaikkan aktiviti ekonomi .

 

Cabaran dan Pengurusan Kos

 

Projek mega sering berhadapan dengan risiko lebihan kos dan kelewatan, yang boleh mengurangkan pulangan ekonomi mereka. 

Tan berkata walaupun lebuh raya serta sistem pengangkutan adalah menguntungkan, ia kadangkala boleh mengenakan kos tambahan kepada orang ramai seperti caj tol, yang meningkatkan kos sara hidup rakyat Malaysia.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid pula menekankan keperluan bagi tadbir urus yang baik dan penunjuk prestasi utama untuk memantau kejayaan jangka panjang projek-projek ini. 

“Kerajaan harus menjejaki perkembangan teknologi hijau serta pengurangan pelepasan karbon, terutamanya dalam projek pengangkutan seperti MRT dan ECRL.

“Sebagai contoh, apabila siap, apakah yang akan menjadi keutamaan dalam pengangkutan awam ini sama ada pengurangan kesesakan di jalan raya kesesakan atau peningkatan kualiti udara? katanya.

 

Impak Ekonomi Jangka Panjang

 

Di sebalik kesan limpahan ekonomi yang positif daripada projek mega, Pengasas dan Pengarah Williams Business Consultancy Sdn Bhd, Geoffrey Williams menegaskan bahawa kejayaan projek-projek ini bergantung kepada penyiapan tepat pada masanya dan pengurusan bajet. 

“Kesinambungan projek-projek ini adalah penting tetapi sama pentingnya untuk menilai semula projek-projek ini secara berkala bagi memastikan ia kekal berdaya maju selain memberikan faedah ekonomi yang diharapkan,” kata pakar ekonomi itu.

Kerajaan telah memperuntukkan RM393.8 bilion dalam Belanjawan 2024, yang mana RM303.8 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan mengurus serta RM90 bilion bagi perbelanjaan pembangunan, dengan RM2 bilion dalam penjimatan luar jangka.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan