EKONOMI > BERITA

Pertumbuhan Ekonomi Global Dijangka Stabil 2025, Inflasi Susut 4.4 Peratus

18/10/2024 04:27 PM

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Ekonomi global dijangka berkembang stabil dan berdaya tahan pada tahun hadapan yang secara tidak langsung akan membantu meningkatkan perdagangan serta permintaan domestik bagi barangan dan perkhidmatan. 

Menurut Kementerian Kewangan (MOF) dalam laporan Tinjauan Ekonomi 2025 yang dikeluarkan hari ini, ekonomi global diunjur mencatat pertumbuhan sebanyak 3.3 peratus pada tahun hadapan, disumbangkan oleh perkembangan stabil dalam kalangan ekonomi maju dan pasaran baru muncul dan ekonomi sedang membangun (EMDE). 

Ia berkata ekonomi maju dijangka meningkat sebanyak 1.8 peratus dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Amerika Syarikat (AS) diunjur menyederhana kepada 1.9 peratus, berikutan permintaan dan pasaran buruh yang perlahan. 

Pertumbuhan EMDE pula diunjur stabil pada 4.3 peratus dengan ekonomi China dijangka sedikit perlahan pada 4.5 peratus disebabkan oleh pertumbuhan produktiviti yang lemah, menurut kementerian itu.

Laporan itu juga memaklumkan perdagangan global dijangka berkembang sebanyak 3.4 peratus didorong oleh peningkatan aktiviti perdagangan dalam kalangan negara maju dan EMDE dengan masing-masing diunjur mencatat pertumbuhan 2.8 peratus dan 4.5 peratus.

Inflasi global pula dijangka terus menyusut pada 2025 kepada 4.4 peratus dengan kadar inflasi ekonomi maju diunjur pada 2.1 peratus manakala EMDE pada 6.0 peratus, berikutan penurunan harga tenaga dan pasaran buruh yang menyederhana, katanya. 

Bagi tinjauan pada tahun ini, kementerian itu berkata ekonomi global diunjur stabil pada kadar 3.2 peratus berikutan penjajaran pertumbuhan dalam kalangan ekonomi maju.

Menurutnya, negara maju dijangka kekal mencatat pertumbuhan sebanyak 1.7 peratus dengan ekonomi AS dijangka berkembang sebanyak 2.6 peratus didorong penggunaan domestik yang berterusan.

Sementara itu, pertumbuhan EMDE diunjur berkembang sebanyak 4.3 peratus, disokong oleh kemampanan penggunaan swasta dan eksport di Asia, manakala ekonomi China dijangka meningkat pada kadar 5.0 peratus didorong perbelanjaan pengguna dan eksport.

MOF berkata perdagangan dunia pada tahun ini dijangka meningkat dengan ketara sebanyak 3.1 peratus, sejajar dengan kestabilan pertumbuhan ekonomi yang didorong oleh pengukuhan aktiviti perdagangan terutamanya dalam sektor berkaitan teknologi.

Inflasi global pada 2024 pula katanya terus mereda kepada 5.9 peratus disumbangkan oleh harga tenaga dan pasaran buruh yang menyederhana.

Bagaimanapun MOF berkata kadar inflasi dijangka kekal tinggi dalam kalangan EMDE berbanding ekonomi maju. 

Sektor luar negeri pula kekal menggalakkan pada tahun hadapan dengan eksport kasar diunjur berkembang sebanyak 3.9 peratus merentasi semua sektor, disokong oleh prestasi perdagangan global yang bertambah baik serta peningkatan permintaan terhadap produk elektrik dan elektronik (E&E) yang dipacu oleh kitaran menaik teknologi global. 

Bagi tahun ini, katanya sektor luar negeri berada pada fasa pemulihan yang stabil dengan jumlah dagangan dijangka berkembang sebanyak 9.4 peratus kepada RM2.88 trillion disokong oleh kitaran menaik teknologi global, pertumbuhan ekonomi yang berdaya tahan dalam kalangan ekonomi utama dan harga komoditi yang stabil.

Namun, MOF berkata pada tahun ini pertumbuhan import kasar dijangka mengatasi eksport kasar.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan