EKONOMI > BERITA

Laporan Ekonomi : Memastikan Murid Tamatkan Sekurang-kurangnya 11 Tahun Pendidikan Formal

18/10/2024 05:09 PM

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Kerajaan melalui Belanjawan 2025 akan memperuntukkan sumber yang mencukupi, bagi memastikan semua kanak-kanak mendapat akses kepada pendidikan berkualiti dan memperluas pendidikan wajib bagi memastikan setiap murid menamatkan sekurang-kurangnya 11 tahun pendidikan formal.

Menurut Tinjauan Ekonomi 2025 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan hari ini, perkara itu antara penambahbaikan dalam ekosistem pengajaran dan pembelajaran, bagi memastikan setiap pelajar memperoleh pengetahuan dan kemahiran kritikal yang diperlukan untuk pembangunan dan pekerjaan masa hadapan.

“Bagi memperkukuh kualiti pengajaran, kerajaan akan menambah baik program latihan perguruan dan memberi penekanan kepada peningkatan kemahiran literasi dan numerasi asas.

“Pada masa sama, usaha untuk menaik taraf kemudahan dan infrastruktur khususnya di sekolah daif, menyediakan ketersambungan Internet yang stabil di semua sekolah, serta mempercepat pembangunan projek sekolah baharu akan terus menjadi keutamaan,” menurut laporan itu.

Laporan itu memaklumkan dalam usaha melahirkan bakat mahir kompetitif yang memenuhi permintaan industri, kurikulum bagi program pengajian tinggi akan diselaraskan dengan keperluan semasa pasaran, melalui kerjasama industri yang kukuh.

Selain itu, usaha akan dipergiat untuk memupuk kerjasama strategik antara industri dengan akademia bagi memastikan penawaran program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sejajar dengan permintaan industri.

“Sebagai sebahagian daripada strategi berterusan untuk mengiktiraf dan meningkatkan reputasi TVET sebagai pilihan kerjaya, Panduan Gaji permulaan sedia ada wajar dikaji dengan mengambil kira kemajuan ekonomi dan kenaikan kos sara hidup.

“Panduan ini boleh dijadikan rujukan alternatif kepada industri dalam menetapkan gaji permulaan kepada graduan TVET,” menurut laporan itu.

Menurut laporan itu kerajaan juga akan meneruskan libat urus bersama sekolah aliran agama seperti tahfiz, bagi menyediakan peluang melanjutkan pelajaran di institusi TVET, semasa atau selepas tamat pengajian program tahfiz, sebelum memasuki kerjaya profesional.

Kerajaan turut komited kepada transformasi sistem penjagaan kesihatan negara termasuk dengan meningkatkan akses perkhidmatan penjagaan kesihatan berkualiti, dengan memperluas perkhidmatan komuniti bergerak, menaik taraf peralatan hospital dan klinik, serta memastikan bilangan petugas penjagaan kesihatan mencukupi bagi mewujudkan persekitaran kesihatan yang lebih kondusif di semua pusat kesihatan.

Menurut laporan itu, Belanjawan 2025 juga bakal menyaksikan transformasi daripada penjagaan rawatan kepada pencegahan penyakit dan ia melibatkan pembiayaan inovatif dalam perolehan perubatan bagi menangani peningkatan kos perolehan dan penggantian peralatan berikutan kemajuan teknologi yang pesat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan