EKONOMI > BERITA

Pengecualian Duti Setem 100 Peratus Surat Cara Perjanjian, Pembiayaan PMKS - MoF

19/10/2024 01:11 AM

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Kerajaan mencadangkan pengecualian duti setem 100 peratus ke atas surat cara perjanjian pinjaman atau pembiayaan oleh perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan pelabur melalui platform Initial Exchange Offering (IEO) yang berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia bagi tempoh dua tahun.

Kementerian Kewangan (MoF) menerusi lampiran yang dikeluarkan seiring dengan pembentangan Belanjawan 2025 hari ini berkata pengecualian itu bagi membantu meluaskan akses PMKS kepada pembiayaan alternatif dalam meningkatkan modal perniagaan. 

"Tarikh kuat kuasa bagi surat cara perjanjian pinjaman atau pembiayaan yang disempurnakan mulai 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2026," katanya. 

Ketika ini, pinjaman atau pembiayaan melalui platform IEO merupakan kaedah alternatif yang membolehkan PMKS, terutamanya usahawan baharu meningkatkan modal perniagaan.

"Perjanjian pinjaman atau pembiayaan yang disempurnakan oleh PMKS dan pelabur melalui platform IEO dikenakan duti setem pada kadar di antara 0.05 peratus hingga 0.5 peratus di bawah Butiran 27, Jadual Pertama, Akta Setem 1949," menurut MoF. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan