EKONOMI > BERITA

MSM Catat Prestasi Bercampur-campur Dalam Tempoh Lapan Bulan Pertama Tetapi Harga Naik 3.1 Peratus Kepada RM4,005 - MPOB

20/10/2024 07:18 PM

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 20 Okt (Bernama) -- Industri minyak sawit Malaysia mencatatkan prestasi bercampur-campur dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini, dilihat daripada harga dan pengeluaran yang lebih tinggi serta peningkatan hasil yang ketara.

Bagaimanapun, industri berdepan cabaran seperti kawasan tanaman yang berkurangan dan penurunan kadar perahan minyak (OER).

Industri mencatatkan eksport dan pendapatan yang lebih tinggi dalam tempoh itu berikutan kenaikan harga minyak sawit global, menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Antara Januari dan Ogos, harga minyak sawit mentah (MSM) meningkat 3.1 peratus atau RM121.50 kepada paras tertinggi pada RM4,005.50 satu tan daripada RM3,884 dalam tempoh sama pada tahun lepas, kata Ketua Pengarah MPOB Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir kepada Bernama.

Walaupun industri berdepan cabaran berkaitan kawasan tanaman dan OER, katanya ia mencatatkan peningkatan yang ketara untuk hasil tandan buah segar (FFB), pengeluaran MSM serta prestasi yang kukuh dari segi jumlah eksport dan pendapatan.

Minyak makan yang paling banyak digunakan di dunia, industri minyak sawit menyumbang purata 5 hingga 7 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia sejak lima tahun lepas serta menyediakan pekerjaan secara langsung dan tidak langsung kepada lebih tiga juta orang.

Ahmad Parveez berkata sehingga Ogos, kawasan tanaman kelapa sawit berkurangan sebanyak 51,541 hektar atau 0.9 peratus, menjadikan jumlah kawasan tanaman kepada 5.60 juta hektar, turun daripada 5.66 juta hektar dicatatkan pada Ogos 2023.

“Kawasan sawit yang matang mewakili 90.8 peratus daripada jumlah kawasan tanaman, sebanyak 5.09 juta hektar berbanding 5.15 juta hektar (91.0 peratus) dalam tempoh sama pada tahun lepas,” katanya.

 

Pengeluaran minyak sawit 

Dari segi pengeluaran, Ahmad Parveez berkata hasil FFB untuk sektor ladang meningkat dengan ketara dari Januari hingga Ogos 2024, naik 12.0 peratus kepada 10.82 tan sehektar, menambah daripada 9.66 tan sehektar dalam tempoh sama pada 2023.

“Kenaikan hasil ini menyumbang kepada peningkatan pengeluaran MSM secara keseluruhan, yang mencecah 12.61 juta tan - naik 10.2 peratus daripada 11.45 juta tan dari Januari hingga Ogos 2023.

“Pertumbuhan ini didorong oleh peningkatan 11.1 peratus untuk FFB yang diproses, berjumlah 64.44 juta tan, naik daripada 57.99 juta tan pada tahun sebelumnya,” katanya.

Bagaimanapun, katanya OER mencatatkan sedikit penurunan sebanyak 0.9 peratus kepada 19.57 peratus daripada 19.74 peratus pada 2023.

 

Eksport minyak sawit 

Eksport minyak sawit Malaysia dalam tempoh tersebut meningkat 1.07 juta tan (11.1 peratus) kepada 10.74 juta tan daripada 9.67 juta tan dalam tempoh sama pada tahun lepas.

Pendapatan eksport naik 11.7 peratus kepada RM45.28 bilion berbanding Januari hingga Ogos 2023 berikutan harga di peringkat global yang lebih tinggi untuk produk minyak sawit.

Beliau berkata pembeli tradisional India mengekalkan kedudukannya sebagai pasaran terbesar untuk eksport minyak sawit Malaysia dalam tempoh ini, menyumbang 2.02 juta tan atau 18.8 peratus daripada jumlah eksport.

Pasaran utama lain termasuklah China dengan 896,705 tan (8.3 peratus), Kesatuan Eropah dengan 857,688 tan (8.0 peratus), Kenya dengan 683,893 tan (6.4 peratus), Turkiye dengan 560,549 tan (5.2 peratus), Jepun dengan 407,539 tan (3.8 peratus) dan Filipina dengan 407,320 tan (3.8 peratus).

“Secara keseluruhannya, tujuh pasaran ini menyumbang sebanyak 5.83 juta tan atau 54.3 peratus daripada jumlah eksport minyak sawit Malaysia dari Januari hingga Ogos 2024,” katanya.

 

Pergerakan harga MSM 

Bagi tempoh lapan bulan pertama tahun ini, harga MSM meningkat 3.1 peratus atau RM121.50, mencecah RM4,005.50 satu tan daripada RM3,884 satu tan berbanding tempoh sama pada 2023.

Tahun lepas, purata harga MSM sebanyak RM3,809.50 satu tan, penurunan yang ketara sebanyak 25.1 peratus daripada 2022.

Ahmad Parveez berkata kenaikan harga disebabkan beberapa faktor, termasuk harga minyak mentah Brent yang tinggi di pasaran global menjadikan minyak sawit sebagai pilihan yang lebih menarik untuk bahan mentah biodiesel serta stok minyak sawit yang rendah, kekal di bawah dua juta tan.

Selain itu, katanya ringgit yang rendah berbanding dolar AS menjadikan minyak sawit lebih menarik kepada pembeli antarabangsa.

Beliau berkata aliran meningkat harga semasa mengukuhkan lagi daya tahan sektor minyak sawit dalam pasaran global yang dinamik.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan